IPOH – Hati kering! Itulah yang digambarkan kepada sekumpulan samseng jalanan yang bertindak berani mengacah anggota polis yang menjalankan rondaan di sini, awal pagi semalam.
Seolah tidak takut dikenakan tindakan, sekumpulan mat rempit yang berkumpul di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Kledang Jaya seawal jam 12 tengah malam tidak menghiraukan gerak geri mereka diperhatikan anggota keselamatan.
Tinjauan selama tiga jam di ‘port’ pilihan anak muda itu mendapati mereka seolah-olah tidak gentar dengan isu keselamatan diri ketika menunggang motosikal beramai-ramai sambil melakukan pelbagai aksi.
Lebih mengejutkan, mereka juga tidak menghiraukan lampu isyarat merah dengan terus meredahnya tanpa menghiraukan pengguna-pengguna jalan raya lain mahupun keselamatan mereka.
Kegembiraan mereka tidak lama apabila ada di antara pelumba haram itu dicekup polis dalam Ops Penguatkuasa Trafik Cegah Samseng Jalan Raya/ Ops Mabuk yang dijalankan bersama 13 anggota, 10 sukarelawan polis yang diketuai seorang pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Selain itu, seorang lelaki warganegara China bersama teman wanita warga tempatan turut ditahan atas kesalahan memandu kereta tanpa lesen serta gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lebih 10 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk yang menjadi penonton di bawa ke IPD Ipoh untuk pemeriksaan.
“Sekatan jalan raya dibuat di Jalan Hospital, Jalan Raja Dihilir, Jalan Pasir Puteh, Jalan Silibin dan sekitar pusat bandar selain sekatan di persiaran Medan Ipoh bagi Ops Mabuk.
“Operasi selama lapan jam itu, 59 kenderaan telah diperiksa dan mengeluarkan 59 saman atas pelbagai kesalahan antaranya nombor pendaftaran, lesen, cermin gelap, cukai jalan dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, kesemua pelumba dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala tujuh penonton turut ditahan mengikut Seksyen 81 akta yang sama.
“Kesemua pelumba dan penonton lumba haram kini ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan.
“Polis serius menguatkuasakan undang-undang terutama kepada samseng jalanan. Ibu bapa perlu main peranan supaya anak-anak mereka tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan,” katanya. - sinarharian
Why Shouldn’t Young Malays Reject Equal Rights?
13 minutes ago
0 comments:
Post a Comment