Sunday, 4 December 2016

Mahathir Hairan Sebab Apa Najib Berdemo



Perdana menteri sepatutnya bertindak lebih tegas demi masyarakat Rohingya dan bukannya sekadar hadir di acara demonstrasi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Kata bekas perdana menteri itu pihak kerajaan tidak mengadakan demonstrasi kerana ia hanya dilakukan oleh pihak yang berada di luar kerajaan.

Justeru kata Dr Mahathir tindakan yang lebih berkesan dilakukan sebagai tanda protes terhadap kezaliman Myanmar ke atas etnik Rohingya ialah memutuskan hubungan diplomatik dengan Naypyidaw.

"Sebagai kerajaan, (sepatutnya) kita tidak berdemonstrasi.

"Kita berdemonstrasi terhadap kerajaan. Kalau kita tukar (menjadi) kerajaan, cadangan saya ialah kitabreak off diplomatic relations sebagai satu tanda ketidakpuasan hati kita terhadap layanan terhadap orang Rohingya," katanya pada sidang media hari ini.

Kata Dr Mahathir apabila seseorang perdana menteri menyertai demonstrasi, tidak diketahui kepada siapa protes itu dihalakan.

"Apabila dia (seorang) perdana menteri, dia buat demonstrasi, diademonstrate kepada siapa, hah?" katanya.

Dr Mahathir sebelum itu menghadiri persidangan tahunan DAP di Shah Alam.

Pimpinan tertinggi parti dalam Pakatan Harapan menyertai acara itu ini termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu.

Jemput pimpinan Myanmar

Hari ini Datuk Seri Najib Razak menghadiri perhimpunan Solidariti Ummah Rohingya di pekarangan Stadium Mini Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk membantah penindasan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di negara berkenaan.

Perhimpunan itu turut dihadiri pemimpin tertinggi PAS, kumpulan Baju Merah dan masyarakat Rohingya yang di negara ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Najib dalam Perhimpunan Agung Umno semalam mengesahkan kehadiran beliau dalam acara itu dan menegaskan perhimpunan tersebut bukan untuk menganggu hal ehwal Myanmar.

Ia berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay yang memberi peringatan kepada Malaysia terhadap campur tangan dalam hal ehwal negara itu.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyatakan tindakan Najib mengadakan perhimpunan untuk mengecam kezaliman ke atas penduduk Rohingya dipercayai sekadar "suatu wayang" oleh pihak kerajaan.

Menceritakan pengalamannya Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun berkata, beliau pernah menulis surat serta menghantar wakil bertemu junta Myanmar untuk menyatakan pandangan kerajaan terhadap penahanan dalam rumah Aung San Suu Kyi.

Suu Kyi adalah bekas pembangkang Myanmar, dilabel sebagai pejuang demokrasi dan penerima anugerah keamanan Nobel 1991 yang diberi sebagai pengiktirafan terhadap usahanya memperjuangkan hak asasi melalui cara aman.

Bagaimanapun untuk nota, Suu Kyi hampir tidak bertindak apa-apa bagi membantu etnik Rohingya setakat ini.

Kata Dr Mahathir, beliau ketika itu menjemput ketua junta Myanmar ke Malaysia untuk melihat sendiri bagaimana negara ini mengamalkan demokrasi.

"Begitulah cara sesebuah kerajaan bertindak kerana sebagai pemerintah, seorang perdana menteri tidak turun ke jalan raya menyertai protes.

"Saya menyertai protes jalanan (baru-baru ini) sebab saya tidak berada dalam kerajaan lagi," katanya.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP