Friday, 2 December 2016

Perwakilan Umno Berpesta Berjaya Perdaya PAS




PERWAKILAN UMNO BERPESTARIA DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC) KERANA PARTI ITU BERJAYA MENEUTRALISASIKAN MUSUH TRADISI PAS.

oleh Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR: Walaupun menerima ancaman paling besar dalam sejarah politiknya, namun pimpinan dan perwakilan Umno masih mampu berpestaria di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kerana parti itu berjaya meneutralisasikan musuh tradisi yang mengancam mereka selama ini, PAS.

Menurut penganalisis politik, tanpa ancaman PAS, Umno yakin akan boleh terus mengekalkan kerusi Melayu yang bakal ditandingi mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang supaya terus kekal di Putrajaya.

“Dengan isu kenaikan harga barang, 1MDB, perpecahan dalam Umno ekoran tindakan Tun Mahathir menubuhkan Bersatu dan lain-lain lagi, ia akan membebankan Umno. Jika isu ini turut digunakan oleh PAS untuk menyerang mereka, Umno akan teruk,” kata Hisomuddin Bakar, pengerusi eksekutif Ilham Centre, sebuah badan penyelidik politik dan pilihan raya bebas.

Sebaliknya, Hisomuddin berkata apa yang berlaku ialah pemimpin dan perwakilan Umno terus berpestaria di PWTC.

“Menuju PRU 14, Umno akan terus rasa selamat di kawasan Melayu tanpa ada tentangan daripada PAS,” katanya kepada FMT.

Bagi Hisomuddin, strategi paling ampuh Umno menjelang PRU ke 14 ini adalah “meneutralisasikan” musuh tegarnya PAS, dan usaha itu, menurutnya, berjaya setakat ini.

Namun beliau mempersoalkan apa sebenarnya sokongan atau bantuan yang diberikan kepada PAS sebagai balasannya, selain membenarkan rang undang-undang Pindaan Akta 355 dibacakan di Dewan Rakyat.

“Ini bantuan politik paling besar dan untungkan politik PAS,” kata Hisomuddin.

Sebagai balasan, PAS berkecuali dalam bajet, tidak turun Bersih 5 dan tidak bersama pembangkang yang lain dalam banyak hal, tambahnya.

“Saya yakin ahli PAS juga keliru ke mana hala tuju PAS dalam pilihan raya umum akan datang, sebab perhitungan utama sebuah parti politik adalah kemenangan dalam pilihan raya dan sebelum itu melalui pembahagian kerusi atau kerusi yang akan mereka tandingi.

“Sebab itu, ketika presiden PAS nampak bekerjasama dengan perdana menteri, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula secara konsisten menyerang dan berkata akan lawan Umno dalam dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Hisomuddin berkata berdasarkan ucapan Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya pada perhimpunan Umno yang berlangsung sekarang, Umno akan bekerjasama dengan PAS.

“Pada bacaan kami, sikap PAS kini dan ucapan Najib semalam sudah menunjukkan mereka sudah masuk fasa kerjasama. Namun bentuk kerjasama masih dalam perkiraan pemimpin mereka bagi menentukan implikasinya terhadap ahli.

“Sebab itu pimpinan kanannya masih dalam mood nafi, PAS tetap akan lawan Umno, tuduhan mahu bersama dengan Umno adalah fitnah dan sebagainya,” kata Hisom.

Sementara itu, tidak ada seorang pun pemimpin kanan PAS yang memberikan reaksi terhadap kata-kata pujian yang dibuat oleh pimpinan Umno khasnya Najib terhadap PAS.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi menyifatkan kenyataan presiden Umno yang mengalu-alukan hubungan mesra Umno-PAS sebagai muslihat politik untuk cuba memerangkap PAS supaya mengikut rentak parti itu.

“Ia sebagai satu percubaan membina persepsi di kalangan rakyat bahawa PAS sudah lunak terhadap Umno dalam semua perkara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, PAS menyifatkan Amanah musuhnya yang paling dibenci kerana ia menjadi batu penghalang kerjasama Umno-PAS.

“Pemimpin utama PAS tahu jika mereka membuat kerjasama dengan Umno, ahli bawahan mereka akan lari. Jika Amanah tiada, ke mana ahli mahu lari melainkan kekal dalam PAS atau berdiam diri sahaja?

“Sebab itu mereka sangat benci kepada Amanah,” kata Husam yang kini penasihat Amanah Kelantan. – FMT





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP