Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad agar mengangkat sumpah laknat berhubung dakwaan bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba menjatuhkan perdana menteri.
Azeez berkata, beliau percaya dakwaan Mahathir mengenai pertemuan dengan Zahid 10 hari selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri adalah tidak benar.
"Kalau Datuk Seri Najib (Razak) berani buat sumpah laknat mengatakan tak terlibat dan tak kenal Altantuya (model kelahiran Mongolia, Altantuya Shaaribuu, yang mati dibunuh kejam) kenapa Dr Mahathir tak boleh.
"Saya percaya kunjungan Datuk Seri Zahid (berjumpa Mahathir) untuk menyatupadukan dan tawar diri untuk sama-sama bantu supaya tak ada jurang perpecahan.
"Kalau betullah Datuk Zahid pergi situ (jumpa Mahathir) nak minta sokongan sebab nak jatuhkan Datuk Seri Najib (seperti didakwa Dr Mahathir), saya minta Tun Dr Mahathir buat angkat sumpah laknat, saya cabar dia," beliau dilapor oleh BH Online.
Isnin lalu, Mahathir mendakwa Zahid pernah menemuinya apabila dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk memohon simpati dan sokongan untuk menggantikan Najib.
Bagaimanapun Zahid tampil menafikan perkara itu dan menegaskan beliau mempunyai rakaman pertemuan itu.
Namun, Zahid tidak menghuraikan lanjut berkaitan jenis rakaman itu sama ada perbualan suara atau pun video.
Sementara itu, Abdul Azeez yang juga Ketua Umno Bahagian Baling ketika mengulas isu sama, percaya tuduhan dibuat Dr Mahathir mempunyai agenda tertentu.
"Saya kaji isu ini dan saya lihat sebab utama dia (Dr Mahathir) nak pecahkan keutuhan tali silaturahim antara Datuk Seri Zahid, Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Hisham (Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein)," beliau dilapor sebagai berkata.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment