Razman kena bayar RM200,000 kepada Nizar
PESURUHJAYA PAS Perak, Razman Zakaria. - Foto Muhaizan Yahya
Razman kena bayar RM200,000 kepada Nizar
IPOH: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria membayar RM200,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkaitan kes saman fitnah.
Saman itu difailkan oleh Mohammad Nizar, dua tahun lalu.
Hakim D Sunita Kaur Jessy membuat keputusan selepas mahkamah berpuas hati kenyataan Razman selaku defendan yang tersiar di akhbar Sinar Harian, 2 Jun 2015, berunsur fitnah terhadap Mohammad Nizar sebagai plaintif.
Sebelum ini, Mohammad Nizar yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak dan kini Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Perak, memfailkan saman fitnah, RM3 juta di Mahkamah Tinggi di Ipoh.
Bagaimanapun, mahkamah kemudian membuat keputusan kes itu lebih sesuai didengar di Mahkamah Sesyen.
Plaintif memfailkan saman itu terhadap dua perenggan dalam artikel akhbar berkenaan yang mengaitkannya sebagai menyokong konsep negara sekular yang diperjuangkan DAP.
Plaintif diwakili oleh Asmuni Awi dan Fitri Asmuni manakala defendan diwakili oleh Mohd Zamri Ibrahim dan Ahmad Azhar Sharin.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Mohd Zamri berkata alasan mahkamah ketika membuat keputusan itu ialah plaintif berjaya membuktikan artikel itu ada unsur fitnah, penerbitan sudah berlaku dan tuntutan balas dan bukti dikemukakan defendan tidak cukup kuat untuk menolak saman plaintif.
Katanya, beliau akan mendapatkan nasihat anak guamnya sama ada untuk memohon penangguhan keputusan itu atau membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.
Asmuni berkata, pihaknya mengemukakan dua saksi sepanjang perbicaraan kes itu berlangsung manakala defendan tidak mengemukakan saksi lain kecuali dirinya. - bhonline
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment