Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohd pada sidang media berkaitan kes kianat membakar kereta Mufti Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis hari ini. - Foto BERNAMA
KANGAR - Polis mengesahkan lelaki yang membakar kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mac lepas, adalah individu sama mencederakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan pada September tahun lalu.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohamad berkata, susulan soal siasat minggu lepas, lelaki itu yang dikenali sebagai Mie Tomoi membuat pengakuan membakar kereta dan mengancam keselamatan Mufti Perlis itu, serta mencederakan Dr Hazman.
Dr. Hazman cedera parah di bahagian muka setelah ditetak dengan senjata tajam dipercayai pedang samurai oleh seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Jalan Kampung Guru di sini pada 3 September 2018.
“Mie Tomoi juga mengaku diberi upah individu lain untuk melakukan kedua-dua jenayah itu,” kata Noor Mushar kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini, hari ini.
Mie Tomoi, 48, direman enam hari sehingga esok kerana membakar kereta rasmi Mufti Perlis, dan selepas itu dia akan direman bagi kes mencederakan pengarah JAIPs.
Mie Tomoi ditahan di Kuala Ketil, Kedah pada 6 Julai lepas, dan mempunyai 16 kes lampau berkaitan samun dan penyalahgunaan dadah serta pernah dihukum oleh mahkamah sebelum ini.
Seorang rakannya yang merupakan peniaga pasar malam, Azimar Abd Razak, 36, ditahan Mei lepas dan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, namun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment