Tuesday, 9 May 2017

AMANAH Atau PAS Yang Tak Tahu Malu?


Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai parti politik yang dianggotai oleh wakil rakyat yang tidak sedar diri tentang kedudukan mereka.

Wakil-wakil rakyat dalam AMANAH dipilih rakyat atas tiket parti Islam itu pada pilihan raya umum yang lalu, menurutnya.

Kata Tuan Ibrahim, keadaan di Selangor ketika ini masih baik kerana barisan pentadbiran sedia ada masih diterima oleh rakyat negeri itu, memetik laporan Utusan Malaysia.

“Kalau saya, rasa malu hendak minta jawatan, sebab kita (AMANAH) bertanding atas tiket parti lain kemudian minta hendak jadi Exco, payah nak sedar diri,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Kerajaan negeri Selangor kini berhadapan dengan pergeseran sehingga ada di antara parti yang mencadangkan supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merombak pentadbiran negeri.

AMANAH turut memberi bayangan bahawa mereka sudah bersedia untuk mengambil alih jawatan dalam negeri Selangor yang ketika ini disandang oleh PAS.

Tuan Ibrahim turut berkata, exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Saya melihat tidak ada isu dari segi pentadbiran, rakyat menerima dengan baik, pentadbiran berjalan dengan baik dan pencapaian oleh semua exco PAS juga sangat cemerlang.

“Bagaimanapun, apabila melibatkan soal parti khususnya hubungan antara PAS dan PKR, kita serah pada Majlis Syura untuk membuat keputusan apabila mengadakan perbincangan nanti. Pada masa ini, pentadbiran berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, akhbar yang sama turut melaporkan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang baru, Nik Mohamad Abduh Nik Abduh Aziz berkata, rakyat di Selangor pasti akan merasa terhina sekiranya pemimpin AMANAH terlibat dalam pentadbiran negeri itu.

Katanya, rakyat pastinya inginkan sebuah barisan kepimpinan yang setia pada perjuangan bukannya mereka yang ‘lompat’.

“Kerusi AMANAH di Selangor pun kerusi lompat, kalau mereka bersama dalam exco, kerajaan Selangor juga akan menjadi sebuah kerajaan lompat. Ia satu penghinaan kepada rakyat Selangor,” jelas beliau.






PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP