Monday, 8 May 2017

Kit Siang: Berapa Ramai Rakyat Percaya Saya Mahu Jadi PM


Dalam tempoh 24 jam lalu, saya terserempak dengan tiga perkara di media sosial dalam kempen fitnah ganas yang dilancarkan oleh tentera siber Umno/BN dalam propagandanya menjelang pilihan raya umum ke-14.

Semuanya, menggambarkan saya sebagai syaitan, puaka, jembalang dan kononnya bahawa saya adalah anti-Melayu, anti-Islam; punca 13 Mei 1969; komunis; tali barut kuasa asing.

Tuduhan juga termasuk saya yang menguasai Pakatan Harapan dan menjadikan pemimpin lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali dan Mohamad Sabu sebagai tali barut dan boneka saya.

Kecaman pertama melalui WhatsApp tertera dengan kata-kata: "Bola kristal menunjukkan bahawa Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri selepas PRU14."

Kedua adalah klip video seminit 15 saat di YouTube dengan tajuk "Apa Untong Rakyat Dengan DAP", yang memaparkan saya dalam seragam komunis, serta menuduh saya punca rusuhan 13 Mei pada 1969 dan kuasa di belakang DAP yang menerajui Pakatan Harapan.

Ketiga adalah tuduhan bahawa saya mahu menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-14 supaya saya boleh menamakan anak saya, Guan Eng sebagai timbalan perdana menteri.

Berapa ramai rakyat Malaysia yang percaya bahawa cita-cita politik saya adalah untuk menjadi perdana menteri Malaysia dan untuk melantik Guan Eng sebagai timbalan perdana menteri?

Saya telah berkecimpung dalam politik Malaysia selama 51 tahun dan cadangan untuk menjadi perdana menteri Malaysia tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.

Saya sertai politik kerana percaya dengan Impian Malaysia, yang saya yakin dikongsi oleh ramai rakyat Malaysia yang kasihnya tidak berbelah bahagi dan setia kepada negara - untuk membina sebuah negara di mana semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, semuanya bersatu dan bangga mereka adalah rakyat Malaysia.

DAP sentiasa menjadi parti untuk semua rakyat Malaysia dan kami tidak pernah menjadi parti untuk kaum-kaum tertentu.

Pemimpin DAP, yang datang dari pelbagai kumpulan etnik dan agama, tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pemimpin untuk hanya satu kumpulan etnik atau agama.

Kami selalu melihat diri kami sebagai mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Tiada seorang pun boleh menjadi pemimpin Malaysia jika beliau menentang mana-mana kaum atau hanya memperjuangkan hak dan kepentingan hanya satu kaum.

LIM KIT SIANG adalah ahli parlimen Gelang Patah dan pemimpin veteran DAP.







PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP