Sunday, 10 September 2017

Hadi Semakin Meroyan Dengan Pakatan Harapan

'DAP, HARAPAN fanatik, rela gadai agama'



PAS mengajak orang ramai menolak DAP dan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang masing-masing dilabel presidennya sebagai parti fanatik kaum, sekular serta memisahkan urusan kehidupan dengan agama.

Dalam kenyataan panjang hari ini Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kumpulan terbabit boleh "menukar agamanya dengan apa saja" dan menjadi alat kepada sesiapa saja demi kepentingan politik yang sementara.

"Mereka sudah menunjukkan sifat negatifnya dengan hanya mentadbir negeri. Belum lagi (mentadbir) negara dan telah pun menunjukkan perangai yang boleh menempah ketegangan dalam masyarakat majmuk ini," katanya.

Tambah Abdul Hadi, DAP dan HARAPAN juga didakwanya menunjukkan keberaniannya mahu merungkai perkara asas dalam kontrak sosial yang telah diikat dalam Perlembagaan Negara.

Keadaan itu, katanya, berbeza dengan PAS di Kelantan yang boleh meneruskan perjuangannya walaupun "dicekik dan dijerut lehernya" tetapi mereka "tidak dapat dicucuk hidungnya".

Pernah sebelum ini menggelar DAP sebagai "butir tahi" Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura, Abdul Hadi juga mengingatkan penyokongnya supaya tidak terikut dengan kumpulan yang tidak senang dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) PAS.

Alasannya, kata Abdul Hadi, PAS melaksanakan dasar itu dengan konsep taawun yang ditunjukkan al-Quran dan sunnah dan ia membezakan parti itu pembangkang lain.

"(Mereka) semata-mata membangkang dan berebut kerusi untuk memerintah tanpa mengira benar atau salah, dan jauh sekali halal dan haramnya," kata Abdul Hadi lagi.

Mati kalau tak ada kerusi

PAS pernah bekerjasama dengan DAP dan PKR semasa menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan kemudian membentuk gabungan Pakatan Rakyat.

Gabungan itu bertahan sehingga PRU ke-13 pada 2013 sebelum hubungan mereka menjadi tegang dan berakhir dengan tamatnya pakatan berkenaan selepas itu.

PKR dan DAP - bersama bekas pemimpin PAS yang menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) - kemudian menubuhkan HARAPAN. PAS bagaimanapun kekal berseteru dengan DAP, AMANAH dan PKR.

Dalam keadaan begitu pun sekumpulan pemimpin PKR masih cuba melembutkan hati PAS untuk bekerjasama menghadapi PRU ke-14 dengan alasan mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Pada masa sama Majlis Presiden HARAPAN memuktamadkan bahawa tidak ada rundingan diadakan dengan PAS dan persiapan sewajarnya dibuat bagi menghadapi kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru.

Pendekatan PAS menyerang DAP pula dianggap selaras dengan hujah digunakan Umno, mendorong pengkritik menuduh parti itu sedang mengadakan kerjasama bagi menghadapi HARAPAN. 

Akhir-akhir ini anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil, adalah antara tokoh yang terkedepan mengecam DAP sebagai parti anti-Islam dan perkauman.

Kata Abdul Hadi PAS tetap beristiqamah dengan konsep Islam didahulukan dan meletakkan kerusi "di belakang".

PAS, katanya, tidak bergantung kepada jumlah kerusi yang dikuasai dan ia berbeza dengan parti lain yang "boleh mati kalau tidak ada kerusi".

Menurut anggota parlimen Marang itu, PAS juga mengenal pasti siapa yang menjadi penentang Islam dan siapa yang boleh menerima agama itu di sebalik tawaran kerusi pilihan raya.

"PAS tetap beristiqamah bersama Islam, PAS bukan parti mengampu dan menumpang," katanya.

- mkini





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP