Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika parti itu menjalin hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).
Katanya keputusan itu adalah muktamad selaras dengan garis panduan yang ditetapkan PAS sebelum ini.
"Terpulang kepada dia (PPBM) untuk bekerjasama dengan DAP atau PAN tetapi PAS ada garis panduan iaitu kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan kedua-dua parti tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, di Marang.
Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan mengadakan kerjasama dengan DAP susulan kenyataan Abdul Hadi yang PAS tidak akan bekerjasama dengan PPBM untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Abdul Hadi membuat kenyataan itu selepas Dr Mahathir berkata PPBM memberi tempoh sebulan untuk PAS membuat keputusan berhubung kerjasama kedua-dua parti tersebut.
Jawatankuasa Induk Bersama PPBM dan PAS sebelum ini pernah mengadakan pertemuan untuk membentuk kerjasama, persefahaman dan muafakat politik.
Sementara itu, mengulas tindakan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang kerap mengkritik kepimpinan PAS, Abdul Hadi berkata tindakan disiplin akan dikenakan jika jawatankuasa disiplin parti mendapati Mahfuz bersalah.
"Saya dimaklumkan telah ada laporan yang dibuat ke atas beliau (Mahfuz) kepada jawatankuasa disiplin parti. Kita tunggu sahaja keputusannya nanti," katanya.
Abdul Hadi turut menasihati pemimpin dan anggota PAS yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti atau tidak dapat menerima dasar-dasar PAS agar keluar parti.
- Bernama
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment