Sunday 26 February 2017

Matlamat Pas Bukan Untuk Jatuhkan UMNO – Nik Abduh


Ketua Pemuda PAS Pusat, Yb Ustaz Nik Mohamad Abduh Datuk Nik Abdul Aziz berucap pada Seminar Pemikiran Tokoh - Haron Din sempena Mesyuarat Agung Tahunan kie9 (MAT9) di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh berkata parti itu bukan bermatlamat untuk menjatuhkan UMNO secara mutlak namun sebaliknya mahu memperkukuhkan ummah.

Ujarnya, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dibawa parti itu kini lebih mementingkan konsep pengukuhan ummah dari segi perpaduan di kalangan umat Islam yang semakin lemah.

“Kita bukan bermatlamat utamanya bukan meruntuhkan UMNO tapi matlamat utama kukuhkan ummah dan mereka tahu sendiri pemimpin mana yang nak pilih.

“Zaman sekarang orang sudah tidak bergantung kepada suara kerajaan. Mereka fikir sendiri untuk dapat maklumat daripada mana,” katanya ketika berucap dalam Seminar Pemikiran Tokoh Haron Din di ibu negara sebentar tadi.

Hadir dalam seminar berkenaan Pengerusi TV Alhijrah yang juga merupakan sahabat kepada Allahyarham Datuk Seri Haron Din.


Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor (kiri) dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Yb Ustaz Nik Mohamad Abduh Datuk Nik Abdul Aziz (kanan) berbincang sesuatu ketika hadir Seminar Pemikiran Tokoh – Haron Din sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke 9 (MAT9) di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 FEBRUARI 2017

Pas kini dilihat semakin mesra UMNO apabila berkali-kali sepentas dengan parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak antaranya Himpunan Solidariti Masyarakat Rohingya pada Disember lalu dan terbaru Himpunan RUU355 yang dianjurkan Pas pada 18 Februari lalu di Padang Merbok.

Penampilan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepentas bersama Najib menyaksikan Pas semakin tidak jelas hala tujunya.

Sebelum ini Hadi dan Najib turut dilihat berpakaian sedondon dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Nik Abduh turut mengakui pendekatan Pas dalam mempamerkan BPMS yang menganjurkan amalan budaya politik matang berdasarkan fakta dan bukan berasaskan emosi memberikan kesan kepada parti itu.

Jelasnya, langkah Pas untuk mengamalkan politik bukan emosi mengakibatkan parti itu berpecah sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (PAN).

“Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang dipraktikkan Pas kini  diperkenalkan semasa berlaku pergoncangan dalam Pas.

“Dalam membina strategi politik dan membina polisi yang mengakibatkan Pas bergoncang dan serpih sudah banyak kali, tapi yang kekal adalah istiqomah dan golongan inilah yang membina satu amalan politik yang matang sepertimana yang dikenali,” katanya lagi.

Beberapa bekas pemimpin Pas antaranya bekas timbalan presiden Mohamad Sabu, bekas naib presiden Salahuddin Ayub bertindak meninggalkan parti dan menubuhkan PAN.

PAN lantas membentuk kerjasama dengan PKR dan DAP dalam membentuk gabungan Pakatan Harapan (PH) tanpa penglibatan Pas.

Disebabkan itu, Pas bertindak menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) bagi kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 tidak lama lagi.

“Sebagai parti Islam, Pas ini menjadi rebutan macam UMNO semua orang minat politik akan masuk UMNO atau Pas berikutan tujuan masing-masing,” jelas Nik Abduh lagi. – MalaysiaGazette






PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP