Monday 10 December 2018

Najib Bagi Jalan Untuk Selamatkan Duit Tabung Haji




Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Tabung Haji (TH) telah membuat kesalahan yang kejam iaitu terlebih membayar dividen kepada pencarum selama empat tahun berturut-turut, iaitu dari 2014 hingga 2017.

Dakwa mereka, akibat membayar dividen berjumlah RM12.652 bilion kepada pencarum untuk empat tahun ini, TH sudah kekurangan RM4.1 bilion pada akhir tahun 2017.

Tiada dakwaan wang TH sudah dirompak ataupun diselewengkan tetapi TH di bawah kerajaan BN telah melakukan tindakan yang kejam iaitu terlebih bayar dividen kepada pencarum selama 4 tahun berturut-turut.

Saya amat hairan mengapa audit luar dan audit kerajaan tidak pernah menimbulkan isu ini untuk empat tahun berturut-turut itu.

Seperti yang saya beritahu minggu lepas, masalah utama TH ialah penurunan teruk nilai pelaburan mereka untuk tahun ini akibat kejatuhan Bursa Malaysia selepas PRU ke-14.

Oleh itu, dividen TH untuk tahun ini akan jauh lebih rendah berbanding tahun lepas dan cara paling sesuai untuk kerajaan sekarang ialah menyalahkan kerajaan terdahulu.

Mereka yang fasih tentang audit dan penilaian aset sudah tentu memahami ini bukanlah langkah yang baik. Amat mudah untuk sesuatu aset dinilai rendah apatah lagi ketika pengurusan baru TH bersetuju dengannya.

Bukan sukar untuk menilai sesuatu aset lima peratus lebih rendah ketika proses audit.

Aset TH hari ini ialah RM73 bilion maka jika dinilai lima peratus lebih rendah sudah RM4 bilion.

Saya tidak terharu dengan pengumuman kerajaan PH bahawa cara penyelesaian utama untuk TH mengatasi defisit yang mereka umum hari ini ialah untuk menjual aset.

Ya, jual aset sekali lagi.

Kerajaan PH umumkan bahawa aset TH akan dijual kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) pada nilai semasa, iaitu nilai yang sudah rendah selepas kejatuhan teruk Bursa Malaysia. Ini termasuk 150 hartanah milik TH di seluruh dunia.

Secara tipikalnya, apabila SPV ambil alih aset-aset itu, mereka bebas untuk mencairkan atau menjual aset berkenaan.

Saya harap akan ada pemantauan dibuat agar penjualan aset sedemikian dibuat dengan betul dan tiada mana-mana pihak tertentu mendapat manfaat daripadanya ekoran hubungan politik.

Ia pasti akan mencetus pertikaian sebagaimana yang berlaku apabila Danaharta dan Danamodal ditubuhkan dahulu.

Biarpun jika ada terlebih penilaian terhadap aset TH dan wujud kekurangan, tiada keperluan mendesak untuk SPV mengambil alih aset TH kerana kerajaan menjamin wang pendeposit.

Aset-aset ini boleh ditinggalkan di TH sahaja untuk menunggu nilai aset pulih.

Satu lagi cara mudah untuk kerajaan ialah menyuntik aset sama ada melalui tunai atau bukan tunai yang sama nilai dengan kekurangan yang didakwa itu.

Dan apabila nilai aset itu pulih, TH boleh membayar semula kepada kerajaan.


NAJIB RAZAK ialah bekas perdana menteri dan anggota parlimen Pekan.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP