Wednesday, 5 December 2018

Pelacur 'nomad' dapat permintaan tinggi di Kota Bharu

Menjalankan aktiviti pelacuran secara berpindah-randah dari satu lokasi ke lokasi lain, kegiatan sekumpulan pelacur yang tiba di Kota Bharu, Isnin lalu terbongkar dalam satu serbuan pihak polis, malam tadi.

Ia susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di hadapan lif tingkat satu sebuah apartmen yang terletak di Bandar Kota Bharu.

Dalam operasi itu, seorang penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia di sebuat institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berusia 24 tahun yang bertindak sebagai 'bapa ayam' ditahan bersama tiga wanita berusia 27, 36 dan 40 tahun.

Keempat-empat mereka merupakan warga tempatan yang berasal dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak.

Ketika ditahan suspek lelaki mengaku mengiklankan perkhidmatan seks melalui aplikasi WeChat dan menjadi orang tengah antara pelanggan dan pelacur yang dijaganya.

Dia menjelaskan, setiap kali perkhidmatan seks wanita berkenaan akan menerima bayaran antara RM250 hingga RM300 dan bapa ayam itu akan menerima komisyen sebanyak 30 peratus untuk setiap pelanggan yang diterima.

Selain itu, pemuda tersebut menerima wang RM50 sehari bagi upah menjaga mereka serta perbelanjaan makan-minum.

Suspek lelaki itu memberitahu, dia mula mengenali wanita berusia 36 tahun itu awal tahun ini sebelum ditawarkan kerja sebagai 'bapa ayam' bermula pada bulan Julai lalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu dia meraih pendapatan sekitar RM4,000 daripada wanita berkenaan yang bergerak dari sebuah negeri ke negeri lain di negara ini mengikut permintaan yang diterima daripada pelanggan.

Seorang pelacur yang berusia 40 tahun ketika ditanya mengenai kegiatan itu berkata, perkhidmatannya mendapat permintaan tinggi selama berada di Kota Bharu.

"Kami sudah beberapa kali ke negeri ini selain bergerak ke negeri-negeri lain mengikut permintaan.

"Di sini permintaan agak tinggi, saya boleh dapat sekitar lima orang pelanggan setiap hari, " katanya.

Tawar seks melalui WeChat

Sementara itu, Pegawai Turus D7 Kelantan, Asisten Superintendan Mat Zol Ismail berkata, empat suspek tersebut tiba di Kota Bharu sejak Isnin lalu dan menyewa di apartmen sewa tersebut yang dijadikan lokasi menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

"Lelaki ini bertindak sebagai bapa ayam yang menguruskan pelanggan-pelanggan. Bersamanya kita merampas sebuah telefon bimbit jenama Iphone 5, segugus kunci apartmen sewa serta satu beg mengandungi wang tunai bernilai RM1,900.

"Daripada tiga wanita itu pula kita merampas peralatan untuk hubungan seks iaitu 44 kondom, minyak pelincir, tiga telefon bimbit serta wang tunai RM2,925 dipercayai wang hasil pelacuran," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Mat Zol berkata, modus operandi yang digunakan kumpulan ini ialah dengan menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi WeChat di rumah-rumah tumpangan di sekitar Kota Bharu.

"Siasatan juga mendedahkan tiga wanita ini menjalankan aktiviti pelacuran secara persendirian atau freelance. Mereka akan bergerak dari satu negeri ke negeri yang lain bergantung kepada permintaan.

"Mereka akan meminta wang RM300 bagi sekali perkhidmatan. Selepas tawar-menawar melalui WeChat, pelanggan yang bersetuju perlu membayar deposit dahulu sebelum diberikan lokasi pertemuan untuk hubungan seks," katanya.

Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP