Friday 1 February 2019

Peguam gesa ambil tindakan terhadap Hadi kerana ucapan pecah-belah




Seorang peguam menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang memberitahu pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands bahawa orang Islam wajib mengundi hanya calon beragama Islam.

Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata, dengan berkata demikian, pemimpin PAS itu melanggar undang-undang dengan menggunakan sentimen agama untuk mempengaruhi pengundi beragama Islam.

“SPR mesti menunjukkan bahawa ia serius, dan tiada sesiapa dibenarkan melanggar undang-undang seperti menggunakan kaum dan agama untuk mempengaruhi sebahagian anggota masyarakat supaya mengundi menurut cara tertentu,” katanya kepada FMT.

Katanya, kegagalan bertindak boleh menggalakkan pemimpin daripada kedua-dua kumpulan politik melakukan perkara sama dalam PRK Semenyih akan datang, yang tempoh berkempennya akan bermula selepas hari penamaan calon pada 16 Feb depan.

Hadi dilaporkan berkata, orang Islam wajib mengundi calon beragama Islam bagi membawa “suara Islam” ke Parlimen.

Beliau menggesa pengundi Islam supaya hanya mempercayai orang Islam sebagai wakil mereka, dengan berkata, orang bukan-Islam tidak mempunyai konsep dosa dan pahala, lalu menjadikan mereka tidak layak berada di Parlimen.


Syed Iskandar Syed Jaafar.
Syed Iskandar berkata, SPR hendaklah konsisten dalam tindakannya kerana ia telah membuat laporan polis terhadap calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran kerana memakai baju dengan logo parti itu di sebuah pusat mengundi.

SPR yang membuat laporan itu di balai polis Sungai Koyan berkata, Manogaran melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA) 1954.


Syed Iskandar berkata, beliau percaya Hadi melanggar akta yang sama dengan menimbulkan perasaan tidak baik atau permusuhan.

Seksyen 4A EOA menyebut, mana-mana orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan dengan tujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara orang yang terdiri daripada kaum yang sama atau kaum yang berlainan supaya mengundi atau tidak mengundi adalah melakukan satu kesalahan.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka juga boleh dilarang daripada mengundi atau menjadi calon pilihan raya selama 5 tahun.

Peguam Lim Wei Jit berkata, peruntukan itu dimasukkan ke dalam EOA kerana badan perundangan telah melihat kesan percubaan mengapi-apikan perpecahan kaum dan agama semasa pilihan raya.

“Ahli politik juga perlu sedar bahawa membuat kenyataan yang menjurus kepada perpecahan kaum dan agama adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, perkara ini boleh dilihat di dalam banyak peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 298 (membuat kenyataan bertujuan melukakan perasaan orang lain), Seksyen 504 (sengaja mengaibkan dengan niat mengganggu keamanan) dan Seksyen 505 (membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam).

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP