Saturday 6 April 2013

Samy Vellu marah Palanivel..

Bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu melahirkan rasa marah dengan Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berhubung isu "calon boleh menang".

Beliau percaya mereka salah faham dengan kenyatannya pada Rabu, sehari selepas Parlimen dibubarkan apabila beliau berkata beliau merupakan calon boleh menang untuk kawasan Parlimen Sungai Siput, sebagai jawapan kepada soalan pemberita.


Samy Vellu berkata beliau tidak meminta Palanivel untuk beliau dicalon bagi kerusi itu dalam pilihan raya umum ke-13," katanya dalam kenyataan sebagai respon kepada kenyataan Palanivel terdahulu bahawa Samy Vellu tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini.

"Palanivel dan Dr Subramaniam salah faham kenyataan saya semasa sidang akhbar majlis penyerahan sumbangan di Bukit Aman kepada keluarga para wira yang terkorban di Lahad Datu, Sabah.

"Memang benar saya memberitahu pemberita bahawa saya yakin saya adalah calon boleh menang. Tetapi tidak bermaksud saya meminta kepada Palanivel yang saya mahu bertanding semula di Sungai Siput,” tambahnya.

Samy Vellu berkata beliau sedih dengan kenyataan mereka yang tidak menggambarkan maksud beliau sebenarnya.

“Mereka (Palanivel dan Dr Subramaniam) perlu menghubungi saya dahulu untuk mengetahui apa yang berlaku di sidang media (di Bukit Aman) sebelum membuka mulut," katanya dan menambah kedua-kedua mereka menunjuk ketidakmatangan dalam politik.

"Saya telah berjuang dalam politik untuk kedua-duanya (Palanivel dan Subramaniam) dalam MIC semasa saya menjadi presiden parti.

"Mereka perlu ingat di mana mereka berada sekarang, kerana politik yang saya perjuangan untuk mereka," katanya.

Samy Vellu berkata beliau yang mendapat kepercayaan Najib dengan melantiknya sebagai Penyelaras BN di Sungai Siput, akan memastikan BN merampas kembali kerusi tersebut tidak kira siapa pun calon BN.

"Saya akan terus bekerja di Sungai Siput untuk melaksanakan apa yang diamanahkan oleh Najib kepada saya,” tambahnya.

Samy Vellu merupakan Anggota Parlimen Sungai Siput lebih tiga dekad sejak 1974 sehingga beliau kalah kepada Dr Michael Jeyakumar Devaraj dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 1,821 undi pada pilihan raya umum 2008.

- Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP