Bukan tak nak ‘back up’ Moorthy...
Bukan tak nak ‘back up’ Moorthy...
Dewan kecoh ketika Waytha Moorthy menjawab soalan ahli Parlimen pembangkang semalam.
A- A+ (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Ahli Parlimen PH dilihat memberi ruang kepada pembangkang menghentam rakan mereka, P. Waytha Moorthy dari semua sudut di Dewan Rakyat, semalam.
Pemerhati politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata tindakan itu dilihat lebih wajar berbanding mereka bangun mempertahankan Moorthy.
“Mereka diam bukan sebab tak berani (pertahankan Moorthy) tapi tak wajar mereka pertahankan Moorthy jadi mereka biarkan pembangkang menghentam sebab memang wajar Moorthy diserang.
“Tidak wajar juga untuk mereka menegur Moorthy seolah-olah menghalakan peluru ke arah pasukan sendiri dan dilihat bersekongkol dengan menteri tersebut sekaligus menjejaskan imej mereka.
“Saya berikan tabik hormat kepada PH kerana memberi ruang kepada pembangkang untuk melakukan serangan walaupun serangan itu agak tidak terkawal sampaikan Speaker kelihatan gagal kawal keadaan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Semalam, sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019, mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) beberapa kali 'dihentak' oleh ahli Parlimen pembangkang yang bangun mencelah untuk meminta penjelasan.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani turut senada.
Namun beliau melihat tindakan pembangkang tidak matang kerana tidak memberi ruang kepada Moorthy memberi penjelasan.
“Saya rasa PH biarkan saja pembangkang bereaksi kepada Moorthy. Isu ini masih dalam perbincangan, beliau nak berhujah, sepatutnya berilah ruang untuk beliau berhujah tapi belum sempat apa-apa dah kena serang.
“Bagi saya tindakan itu tidak matang juga daripada pembangkang. Menteri nak jelaskan tak diberi ruang, saya rasa tak sepatutnya berlaku seperti itu,” katanya.
Menurutnya lagi, penjelasan perlu dibuat kerana rakyat masih tidak memahami isu ICERD itu.
“Saya bimbang rakyat keliru isu ini. Moorthy atau Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mungkin perlu cari platform sesuai selain Parlimen untuk jelaskan isu ini. Orang kalau dimainkan sentimen agama dan kaum senang terpengaruh jadi kerajaan kena jelaskan.
“Jika orang melihat apabila Moorthy bercakap dirasakan bias dan sebagainya mungkin pihak lain boleh jelaskan sama ada Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar wadah perdebatan dibuka lebih banyak supaya isu ini dapat dibahaskan lebih lanjut.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
1 comments:
bukan isu icerd yg besar. tp video pengkhianat moorthy kpd negara membuat semua rakyat marah.
Post a Comment