DOJ mohon rampas hartanah 1MDB di London
Kerajaan Amerika Syarikat mengemukakan permohonan di mahkamah bagi merampas sebuah ‘penthouse’ di London yang didakwa diperolehi dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB, lapor The Wall Street Journal (WSJ).
Ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, membeli ‘penthouse’ berkenaan, sebuah bangunan pejabat dan sebuah lagi pangsapuri, yang semuanya terletak di daerah Mayfair dengan membelanjakan £77 juta (RM416 juta pada kadar semasa) milik firma pelaburan negara itu.
Ini adalah menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada 7 Jun oleh Jabatan Keadilan (DOJ) di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi daerah California Tengah.
Pada Julai 2016, DOJ memfailkan saman sivil pelucuthakan di Los Angeles bagi memohon kebenaran merampas hartanah bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4.26 bilion pada kadar semasa) yang berkaitan dengan dana 1MDB.
Ia sebagai sebahagian daripada usaha bagi mendapatkan semula AS$3.5 bilion yang dikatakan telah diselewengkan daripada 1MDB.
Hartanah di London itu adalah yang terbaru menjadi sasaran penyitaan oleh DOJ yang bertaburan di seluruh dunia.
"Low membeli penthouse dan pangsapuri di Stratton menggunakan hasil 1MDB. Low menggunkan dana yang dikesan diselewengkan daripada 1MDB untuk membeli pejabat di Stratton," kata DOJ dalam kenyataannya.
DOJ berkata ia percaya hartanah itu "diperolehi melalui cara yang melanggar undang-undang Amerika Syarikat" dan terbabit dengan kesalahan pengubahan wang haram, kata WSJ.
Pejabat yang dibeli pada harga £42 juta pada tahun 2014, adalah ibu pejabat untuk Myla, sebuah syarikat pakaian dalam di UK yang juga diperolehi Low dengan dana yang dikesan berasal daripada 1MDB, kata DOJ.
Menurut pendaftaran perniagaan Companies House, Low meletak jawatan sebagai pengarah Myla pada bulan November 2014.
Myla dilaporkan kerugian £7.59 juta pada tahun 2015.
Jurucakap Myla tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan syarikat itu, manakala low dan peguamnya tidak mengendakan permintaan untuk mendapatkan komen, lapor WSJ.
Low sebelum ini dilaporkan berkata, beliau adalah mangsa perbalahan politik di Malaysia dan bahawa dirinya hanya seorang penasihat tidak rasmi kepada 1MDB.
Peguam bagi keluarga Low telah berkata mereka akan mencabar saman sivil pelucuthakan di Amerika Syarikat itu.
Dalam saman pelucuthakan yang difailkan pada Julai 2016, DOJ mendakwa "Malaysian Official One (MO1)" menerima AS$ 731 juta yang berasal dari firma yang bermasalah itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata 1MDB tidak terbabit secara langsung dalam saman DOJ itu.
- mkini
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment