Wednesday, 14 June 2017

Editor Sarawak Report Tolak Saranan IGP Datang Ke Malaysia


Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang berpangkalan di London menangkis saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya beliau datang ke Malaysia bagi membantu siasatan polis.

Khalid mengulangi gesaannya itu pagi ini, tetapi pada masa sama, berkata beliau tidak dapat menjamin laluan selamat buat Rewcastle-Brown.

Ini merujuk terhadap dakwaan Sarawak Reportbahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Dalam satu e-mel petang tadi, editor laman web pemberi maklumat itu berkata: "Sarawak Report ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara atas kemurahan hatinya menjemput saya melawatnya di Malaysia, untuk menyerahkan maklumat.

"Bagaimanapun, kita ambil maklum, keengganannya untuk menawarkan 'laluan selamat' yang perlu kita akui sebagai sedikit penghalang," katanya.

Rewcastle-Brown juga membidas Khalid berhubung pengakuanya tentang artikelSarawak Report bahawa ketua polis negara itu mengenali suspek utama dalam kes rasuah di Melaka.

"Ketika mendakwa maklumat yang kami bekalkan... pembayaran kepada Umno, Shafee dan lain-lain sebagai 'khabar angin', beliau pada sidang akhbar sama mengakui bahawa laporan kami mengenai persahabatan keluarganya dengan gangster pusat judi dan urut itu adalah betul.

"Memandangkan Ketua Polis Negara adalah orang yang boleh menyediakan laluan selamat dan kini secara terbuka enggan berbuat demikian, kami bimbang akan terpaksa menolak niat baiknya dan bantuan pertolongan yang dihulurkan itu," katanya.

Walau bagaimanapun, Rewcastle-Brown sanggup menyediakan penyiasat di Bukit Aman dengan "beberapa tip" mengenai perkara-perkara yang diminati oleh Khalid.

"Untuk mengesahkan maklumat yang kami berikan, beliau perlu hanya memujuk rakannya di Pejabat Peguam Negara untuk melaksanakan tugas perlembagaan mereka dan membuka semula fail pasukan petugas khas mengenai 1MDB.

"Semuanya ada di hadapannya, jika beliau mahu melihat semua bahan yang kami petik itu, itulah sebabnya mereka yang mengetahui apa-apa mengenai kes itu kini bersembunyi di bawah batu sejak bukti mula didedahkan," dakwanya.

Minggu lalu, Shafee berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan itu, tetapi setakat ini, belum ada sebarang makluman daripadanya.

Percubaan demi percubaan untuk mendapatkan maklum balas daripada Pejabat Perdana Menteri dan pembantunya juga berakhir dengan sia-sia.

Walau bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, semalam, menasihatkan rakyat supaya tidak mempercayai laporanSarawak Report, yang didakwa sebagai laman web yang tidak berwibawa.

Menurut Sarawak Report, Najib membuat dua pembayaran kepada Shafee jumlah wang berkenaan dari akaun yang sama di mana dana SRC International disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri.

Shafee bertindak sebagai ketua pendakwa ketika kes liwat II yang membabitkan bekas ketua pembangkang yang kini meringkuk di penjara Datuk seri Anwar Ibrahim dibicarakan di mahkamah rayuan dan persekutuan.

Susulan dakwaan Sarawak Report itu, Anwar memfailkan saman pemula minggu lepas supaya sabitan kesalahannya itu diisytiharkan terbatal dan tidak sah.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan dakwaan Sarawak Reportatau mengesahkan jika bayaran yang dikatakan itu berkaitan dengan peranan Shafee dalam kes Anwar.








PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP