Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menegaskan, tindakan Anggota Parlimen Subang R Sivarasa yang berucap di dewan solat Masjid An Nur Kampung Melayu Subang sebagai 'melampau batas'.
Sultan Sharafuddin berkata, baginda melarang anggota politik daripada berceramah atau berucap dalam masjid kerana tidak mahu tindakan itu menjadi punca perpecahan umat Islam.
"Beta telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik sama ada oleh orang Islam sendiri atau orang yang bukan Islam.
"Beta tak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap dalam masjid kerana beta tidak mahu ia menjadi punca kepada perpecahan umat Islam.
"Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan - anggota parlimen Subang Sivarasa, you have cross the line! (kamu melampau batas)," kata baginda.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis buka puasa dan perasmian Masjid An Nur Temasya Glenmarie di Shah Alam.
Sivarasa pada Rabu, 24 Mei lalu mencetuskan kontroversi apabila beliau hadir di Masjid An Nur Kampung Melayu, Subang untuk menyampaikan sumbangan RM71,000 bagi diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen berkenaan.
Sambil menafikan dirinya memberi ceramah politik di masjid berkenaan, katanya kehadirannya itu disalahertikan sesetengah pihak.
Menurut Sivarasa sebagai tetamu yang dijemput memberi sepatah dua kata, adalah tidak elok jika beliau menolak undangan itu.
Sivarasa hari ini memberitahu wartawan bahawa beliau sedang menyiapkan surat penjelasan untuk diberikan kepada Sultan Sharafuddin.
Menguls lanjut, baginda berkata, Sivarasa boleh berucap sehingga sepuluh jam sekalipun tetapi ia mestilah dibuat di luar kawasan masjid.
"Jikalau anggota parlimen Subang hendak berucap lapan jam atau sepuluh jam di luar dari kawasan masjid, beta tidak menghalangnya.
"Itu semua terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar atau tidak. Tetapi jangan sesekali berucap di dalam masjid dan di dalam kawasan masjid," kata baginda.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan nazir, imam dan anggota jawatankuasa (AJK) masjid agar lebih peka dan mengambil berat terhadap titah baginda yang tidak membenarkan masjid dijadikan sebagai tempat berpolitik.
Kata baginda, beliau mahu masjid dan surau digunakan sebagai tempat beribadat dan menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah belah dan berpuak-puak.
Justeru, baginda turut mengingatkan sekiranya ada di antara nazir, imam atau AJK masjid yang ingin aktif berpolitik, mereka dinasihatkan supaya berhenti daripada jawatan berkenaan.
"Beta titahkan supaya berhenti daripada menjadi nazir, imam atau anggota jawatan kuasa masjid dan serah tanggungjawab tersebut kepada orang lain.
"Beta tidak teragak-agak untuk menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya menamatkan nazir, imam dan anggota jawatankuasa masjid yang melanggar dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.
Susulan tindakan Sivarasa itu, sultan Selangor kini mengarahkan pihak JAIS menyiasat perkara tersebut secara terperinci.
"Sekiranya didapati ada bukti yang anggota jawatankuasa masjid ini melanggar peraturan yang sedia ada, tindakan selanjutnya hendaklah diambil terhadap mereka selepas bulan Ramadan," kata baginda lagi.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment