Ketika Singapura mengakhiri siasatan dua tahun ke atas bank yang terbabit dalam urus niaga berkaitan 1MDB, Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat adalah tidak munasabah bagi Malaysia menegaskan bahawa tidak ada yang tidak kena mengenai firma pelaburan negara itu.
Ulasannya itu dibuat ketika beberapa negara lagi terus melakukan siasatan dan pendakwaan berkaitan skandal 1MDB.
"Perbuatan jenayah dalam kerajaan bukan rahsia rasmi. Malah, adalah menjadi kewajipan semua orang dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan untuk melaporkan jenayah tersebut.
"Adalah tidak masuk akal jika kerajaan Malaysia menegaskan tidak ada yang salah atau tidak kena dengan 1MDB sedangkan negara lain menangkap orang, menutup bank-bank dan mengisytiharkan bahawa pengubahan wang haram secara besar-besaran dilakukan melibatkan wang 1MDB.
"Jika benar, tidak ada sebarang salah laku maka Peguam Negara mesti menunjukkan bukti bahawa wang itu masih ada dan adalah selamat," katanya dalam catatan di blog hari ini.
Antara lain, Mahathir berkata, bahawa Singapura telah menutup dua bank, menangkap, mendenda dan memenjarakan tujuh orang, berhubung skandal 1MDB.
Beliau berkata Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat juga telah mengenal pasti dan membekukan hartanah AS$ 1 bilion yang dipercayai adalah daripada dana yang diselewengkan dari 1MDB, manakala pihak Swiss juga masih menyiasat skandal tersebut.
Katanya, laporan media mengenai 1MDB di seluruh dunia adalah sangat pedas, dan akan menjadi fitnah kepada Najib jika ia tidak benar.
"Tetapi di dalam negara, apa yang berlaku adalah bahawa peguam negara hanya mengisytiharkan bahawa perdana menteri tidak melakukan sebarang kesalahan. Ini disahkan oleh perdana menteri.
"Dalam berdepan semua dakwaan, laporan, kenyataan dan kutukan di seluruh dunia, tidak bolehkah peguam negara membuka semula siasatan polis mengenai penipuan yang terbabit dalam pengurusan wang 1MDB dan menyah-rahsiakan laporan oleh Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Ketua Audit Negara daripada Akta Rahsia Rasmi?" soalnya.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment