Tun Dr Mahathir Mohamad percaya bahawa ramai yang berminat melihatnya diberi pakaian jingga yang tertera perkataan “lokap”.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian, sehari selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan murka baginda berhubung kenyataannya yang didakwa dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.
Dewan di-Raja Selangor, semalam juga dilaporkan mahu siasatan ke atas Dr Mahathir dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan atau apa jua undang-undang berkaitan sewajarnya.
Dalam sebuah rakaman video yang disiarkan di Facebook petang ini, Mahathir berkata sejak beliau membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, banyak pihak mahu melihat dirinya ditangkap.
"Ramai orang yang berminat supaya saya diberi pakaian oren dengan perkataan ‘lokap’. Jadi ini satu lagi langkah ke arah itu.
“Kalau polis buat siasatan, saya mungkin kena pakai baju itu dan puas hatilah ramai orang.
"Dewan yang buat keputusan ini pun mungkin berminat melihat gambar saya pakai baju lokap,” kata ahli politik berusia 92 tahun itu.
Ucapannya pada himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” yang diadakan di Petaling Jaya, pada 14 Oktober lalu, mengundang kemurkaan sultan Selangor.
Bekas perdana menteri, yang kini mengetuai Pakatan Harapan, itu dilaporkan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya balik ke Sulawesi, tempat asal bagi mereka yang berketurunan Bugis, termasuk presiden Umno itu.
Antara kenyatannya itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."
Berikutan bantahan dari pelbagai pihak, termasuk di Jakarta, Mahathir menjelaskan bahawa ucapannya ditujukan kepada Najib dan bukan seluruh masyarakat Bugis.
Dalam satu kenyataan media semalam, Sultan Sharafuddin berkata kenyataan Mahathir amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan rasa benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara.
“Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan rasa benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara.
“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasihah dan keturunan Kesulatan Selangor yang berasal dari Bugis,” kata baginda.
Pagi ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu bahawa siasatan terhadap Mahathir sedang dijalankan tetapi tidak mendedahkan jika ia dibuat mengikut Akta Hasutan.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment