Wednesday, 8 November 2017

Zamihan tak ada perasaan, kata Khalid Samad


Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan penceramah kontroversi Zamihan Mat Zain sebagai tidak ada perasaan berkaitan isu banjir di Pulau Pinang.

Ia susulan kenyataan Zamihan bahawa masyarakat bukan Islam yang berteduh di surau ketika banjir besar tidak sepatutnya berlaku.

“Kita kena tunjuk imej Islam itu sebagai agama kasih sayang. Zamihan dia tak ada perasaan (keluar kenyataan) macam itu. Dia tidak ada rasa nak membantu sedangkan dalam al-Quran banyak ayat yang menceritakan soal kasih sayang.

“Kalau kamu tidak ada rasa kasih sayang kamu menipu sebab orang yang kuat agama ni takkan biarkan orang miskin tanpa makanan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di parlimen hari ini.

Sebelum ini sekeping gambar tular di media sosial menunjukkan beberapa lelaki dan wanita Cina tumpang berteduh dalam sebuah surau di Georgetown Pulau Pinang.

Zamihan melalui posting Facebooknya berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana keadaan banjir di negeri itu masih tidak boleh dikelaskan sebagai darurat.

Zamihan bagaimanapun sudah memadam posting tersebut semalam.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat, rata-rata warga maya memuji langkah bilal Surau Taman Free School yang mempelawa masyarakat bukan Islam berkenaan menumpang di surau terbabit.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Zamihan untuk mendapatkan reaksi berhubung kenyataan Khalid.

'Zamihan tak akan saman'

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan undang-undang yang akan difailkan Zamihan kerana menuduhnya dilindungi "godfather", Khalid berkata sehingga kini beliau masih belum menerima saman berkenaan.

“Saya rasa Zamihan tidak akan saman saya. Saya jangka dia tidak akan buat apa-apa. Dia pun sedar betapa melampauinya kenyataan dia,” kata Khalid.

Katanya, sekiranya Zamihan menyamannya, beliau akan memainkan video ceramah Zamihan di mahkamah agar didengari semua pihak.

Pada 17 Oktober lalu Malaysiakini melaporkan Khalid sebagai berkata ada kemungkinan Zamihan dilindungi "godfather" - merujuk kepada pihak yang berpengaruh dalam negara.

Kata Khalid "godfather" terbabit cuba mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menyelamatkan penceramah terbabit susulan ucapan kontroversinya di sebuah masjid di Selangor.

Nama Zamihan menjadi perhatian ramai ekoran kelantangannya menyampaikan pandangan semasa memberikan ceramah atau kuliah.

Baru-baru ini dia ditahan reman dua hari oleh polis mengikut Akta Hasutan ekoran kenyataannya mengenai kedai dobi "mesra Muslim" serta Sultan Ibrahim.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga kemudian mengambil tindakan mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor membatalkan tauliah yang diberi kepada Zamihan.

Menurut kenyataan baginda yang dibuat melalui Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais, tindakan itu dibuat melalui Peraturan 4, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP