Wednesday 1 November 2017

Tiket Bola: SPRM Kedah 'Singgah' Pejabat KFA



ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sudah memberi penerangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berhubung dakwaan segelintir penyokong mengenai kegagalan mereka menguruskan penjualan tiket final Piala Malaysia 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar mengesahkan pihaknya dikunjungi beberapa pegawai SPRM yang melakukan siasatan awal mengenai laporan yang dibuat kelab penyokong dan KFA menjelaskan pertemuan hampir dua jam itu berlangsung dengan baik.

“Ketika pegawai SPRM datang ke pejabat ini, kami sedang menguruskan pengagihan tiket untuk tempahan membabitkan 400 bas dan SPRM turut menyaksikan sendiri agihan tiket dan senarai tempahan yang dibuat.

“Malah, SPRM juga turut menjelaskan bahawa agihan tiket perlawanan akhir adalah termaktub kepada KFA dan kami tidak melanggar sebarang polisi memandangkan kami tidak terikat dengan apa-apa polisi yang menyatakan mengenai jumlah tiket yang perlu dijual di kaunter.

“Harus diingat, tempahan untuk 400 bas itu juga adalah untuk penyokong Kedah bukannya untuk orang asing ataupun ulat.

Bakinya baru dijual di kaunter jadi dua bentuk agihan itu tetap sampai kepada penyokong Kedah,” katanya ketika ditemui di pejabat KFA, sebentar tadi.

Sementara itu, SPRM Kedah mengesahkan pihaknya menghantar beberapa pegawai ke pejabat KFA selepas mendapat laporan mengenai kelemahan pengagihan tiket perlawanan akhir antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

Bagaimanapun, sumber SPRM Kedah menjelaskan ia adalah lebih kepada siasatan awal membabitkan dakwaan kelab penyokong yang membuat laporan itu dengan beberapa pegawai itu tiba di pejabat KFA kira kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Kami mendapatkan penjelasan daripada pihak terbabit selepas mendapat beberapa laporan terhadap KFA mengenai pengagihan kuota tiket sehingga mencetuskan kekecohan di Stadium Darul Aman.

“Namun, tiada apa yang boleh kami berikan buat masa ini kerana ia masih di peringkat awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) bercadang untuk membuat satu laporan kepada SPRM berhubung kelemahan sistem penjualan tiket final Piala Malaysia antara Kedah dan JDT yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi LMFA, Wan Syazwan Wan Fadzelah berkata, pihaknya amat kecewa dengan kegagalan KFA menguruskan pembahagian tiket hingga mengakibatkan berlakunya beberapa insiden kekecohan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah, hari ini.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP