Presiden PKR Anwar Ibrahim berpandangan timbalannya Mohamed Azmin Ali perlu meletakkan jawatan daripada Kabinet jika terbukti beliau terlibat dalam video seks yang kini dalam siasatan polis.
“Pandangan awal saya, dia tak perlu letak jawatan. Tapi (sekarang) bergantung kepada penyiasatan. Kalau video itu tak sahih saya tak fikir Azmin harus mengambil cuti. Ia bergantung kepada siasatan...
"Kalau konklusif, dalam erti kata (dia merupakan) pelaku dalam adegan itu, [...] sudah tentu dia kena letak jawatan.
"Tetapi jika kita belum memastikan kebenaran dan kesahihan orang dalam video itu, maka dia ada pilihan,” katanya ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen hari ini, sama ada Azmin perlu meletakkan jawatan.
Semalam, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku agar bercuti sementara dan "tidak berselindung di sebalik jawatan tinggi...apatah lagi di belakang perdana menteri".
Meskipun tidak menyebut secara langsung, kenyataaan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada Azmin yang dikaitkan dengan video seks sejenis bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Hari ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan video itu hanyalah bertujuan untuk menyekat kejayaan politik, bukan untuk mendedahkan salah laku.
Dalam pada itu Anwar berkata beliau terkejut dengan penahanan seorang pemimpin kanan PKR negeri dan pembantunya - bersama dua individu lain - oleh polis semalam berkaitan video seks itu.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama individu tersebut sementara menunggu pendakwaan, jika ada.
“Saya terkejut, sudah tentu. Saya tak tahu kenapa (dia ditahan). Polis mungkin ada alasan mereka tersendiri. Biarlah penyiasatan dilakukan mengikut proses yang sepatutya,” katanya.
Beliau berkata tidak dimaklumkan mengenai penahanan tersebut dan hanya mengetahuinya daripada media.
“Saya dah sebut, pendirian parti selama ini adalah untuk serahkan kepada pihak polis, dan mahu keadilan diberikan terhadap pelakunya dan juga perencananya,” katanya lagi.
Selain tiga individu itu, polis turut menahan Haziq dan lima individu lain yang kini dalam tahanan reman.
Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson berkata PKR tetap kukuh sebagai sebuah parti tetapi tetap menerima kesan ekoran isu itu.
“Dari segi parti, masih solid. [...] Tapi memang ada kesan kepada parti, sebab dia (Azmin) menteri hal ehwal ekonomi,” katanya lagi.
Anwar Ibrahim
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment