Monday 15 April 2013

BN Akan Perang Besar Selepas Nama Calon Diumumkan

KUALA LUMPUR: MCA bahagian Gelang Patah, Wangsa Maju, Serdang dan Kuantan sudahpun melenting berikutan berita Umno cuba merampas kerusi mereka.

Semalam Malaysiakini melaporkan MCA bahagian Gelang Patah mengisytiharkan berhenti kerja selepas mendapat ura-ura bahawa Pengerusi MCA Gelang Patah Jason Teoh bakal tidak dicalonkan.


Arahan itu dikeluarkan sejurus selepas pertemuan dengan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek semalam.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Abdul Ghani Othman yang ditendang dari kerusi DUN Johor dikatakan bakal berentap situ untuk berdepan dengan penasihat DAP Lim Kit Siang.

MCA bahagian Serdang pula memberontak setelah mendapat maklumat bahawa seorang pembelot dalaman bakal dicalonkan sebagai calon parlimen Serdang.

Liew Yuen Keong, Ketua MCA Serdang yang enggan mendedahkan nama pembelot itu berkata rahsia pembelot ini memang diketahui umum di kawasannya.

Ini tidak ditambah lagi dengan pemberontakan di MCA Wangsa Maju dan Kuantan. Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob melenting apabila akhbar The Star melaporkan bahawa kerusi Kuantan akan digantikan dengan kerusi Temerloh. Akhirnya The Star terpaksa membuat permohonan maaf dan pembetulan terhadap berita tersebut.

Kerusi Wangsa Maju pula hampir pasti hilang dari tangan MCA apabila Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerusi itu adalah kerusi pinjam dari Umno ke MCA.

Berita perebutan kerusi Umno pula tertutup sehingga kini. Tapi insiden di Putrajaya di mana satu laporan polis dibuat ke atas Tengku Adnan kerana menampar seorang pemimpin Umno tempatan yang datang berjumpa beliau. Ura-ura menyatakan bahawa ia berpunca daripada agihan kerusi.

Ramai yang mengunakan pemimpin veteran parti yang disegani Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak untuk melobi bagi pihak mereka. Kes paling klasik ialah apabila seorang menteri penggal lalu telah mengguna khidmat isteri sendiri untuk melobi supaya beliau dikekalkan.

Dalam pertemuan 10 April, Najib membuat seruan terakhir kepada pemimpin akar umbi BN supaya menerima senarai calon yang bakal diumumkan kelak.

Harakahdaily sempat menelefon sumber Umno untuk bertanyakan mengenai perkembangan calon-calon BN sejurus berita melaporkan bahawa Najib bakal menyerahkan surat tauliah pemilihan calon Barisan Nasional (BN) kepada pengerusi-pengerusi negeri di ibu negara.

“Masalah terbesar calon BN ialah perkataan ‘winnable’ itu. Tiada kriteria pada perkataan ‘winnable’. Bukan tengok track record, bukan nilai prestasi dan bukan nilai peluang menang. Ia dinilai siapa yang Kak Ros suka dan Tun Mahathir suka. Di samping itu juga ada percaturan nak pastikan kem masing-masing mendapat calon parlimen yang paling banyak menang.

"Sebab itu baru timbul rasa tidak puas hati melampau. Sekarang buat apa pun silap. Hanya harap Tingkat 2 B4 jangan rumitkan keadaan. Umno tak boleh bentuk kerajaan sendiri sepertimana PAS dulu. Apa yang mereka buat kini ialah biar Umno jalan seorang tanpa rakan-rakannya,” kata sumber Umno itu.

Sumber Umno menambah penentuan calon kali ini juga berkait rapat dengan pemilihan parti Umno yang bakal berlaku selepas PRU13.

“Ini yang merumitkan keadaan. Dalam percaturan ada percaturan. Jika ramai memberontak dan situasi dalaman tidak terkawal, tunggu sahaja video fitnah akan keluar lagi untuk mengalih perhatian rakyat. Just be prepared,” nasihat sumber Umno itu lagi.

Ketika ditanya samada beliau bakal menjadi calon di PRU13, sumber Umno itu berkata, “Insha-Allah, kalau Kak Ros tak membantah, ya. Saya pernah tersilap kata benda tak baik pada dia dan perkara itu sampai padanya. Kalau Kak Ros masih berdendam, tak ada harapanlah.”


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP