Saturday 15 March 2014

Juruterbang bebas punyai hobi termasuk miliki simulator, kata MAS

Juruterbang berhak mempunyai hobi masing-masing termasuk memiliki simulator penerbangan di kediaman, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya (gambar).

"Bagi juruterbang, mereka bebas mempunyai hobi masing-masing... mempunyai simulator di rumah sendiri," katanya dalam sidang berita harian mengenai perkembangan kehilangan pesawat MAS MH370 di Sepang hari ini.


Beberapa media tempatan dan asing melaporkan dengan memetik gambar daripada laman sosial Facebook milik juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah, yang menunjukkan juruterbang itu mempunyai simulator penerbangan sendiri di rumahnya di Shah Alam.

Ahmad Jauhari berkata siasatan secara terperinci ke atas juruterbang tersebut hanya akan dilakukan jika terdapat petunjuk tertentu.

Jelasnya MAS masih lagi meneliti kesemua senarai kru penerbangan dan penumpang pesawat MH370 itu sebelum memulakan sebarang siasatan terperinci.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kemudian menjelaskan siasatan polis ke atas simulator tersebut belum lagi dilakukan.

"Kami tidak dapat jawab soalan mengenai perkara itu sehingga mereka pergi ke rumah itu untuk melihat simulator.

"Polis belum pergi ke rumah itu... belum memeriksanya... tetapi siasatan ke atas juruterbang itu sedang dijalankan," katanya.

Polis dilaporkan ke rumah juruterbang itu untuk menemu bual ahli keluarga juruterbang tersebut, yang merupakan siasatan rutin untuk mencari sebarang petunjuk membabitkan aspek psikologi atau mental.

Kapten Zaharie merupakan juruterbang berpengalaman kerana sudah berkhidmat lebih 30 tahun. – Bernama

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP