Monday, 8 April 2013

Kangkung Belaan Umno Berkata-kata Lagi

Tokoh akademik: Benarkah DAP guna lambang Pas, langkah salah

KOTA BHARU - Persetujuan Pas supaya DAP menggunakan lambang parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) disifatkan sebagai langkah yang salah dalam perjuangan parti itu membangunkan agama Islam dan umat Islam, kata seorang tokoh akademik.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Perhubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin Datuk Prof Dr Hussin Abdul Rahman berkata beliau melihat keputusan itu sebagai suatu cara Pas untuk memenangi hati pemimpin DAP dan pada masa yang sama kerana ia mahu memerangi Umno secara habis-habisan.

Beliau yang juga bekas pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, berkata tumpuan PAS untuk memerangi Umno habis-habisan itu akan menyebabkan proses membina dan membangunkan sebuah generasi dan peradaban Islam diabaikan.

Langkah itu, katanya berbeza dengan cara Umno yang merancang untuk memenangi Islam melalui strategi maqassid.

"Tesis pemimpin Pas adalah apabila Umno musnah, apabila pakatan Pas, PKR dan DAP memerintah, maka di situlah Islam terbangun...(tesis pemimpin PAS) proses ini tidak betul," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Pas tidak akan menarik balik persetujuannya membenarkan DAP menggunakan lambang parti itu pada PRU13 meskipun ia menimbulkan keresahan anggotanya di peringkat akar umbi.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata bahawa kebenaran itu diberikan kerana Pas dan DAP mempunyai persefahaman bersama atas konsep resolusi yang disepakati antara parti dalam pakatan pembangkang.

Dr Hussin turut mempersoalkan bagaimana Pas boleh mengharapkan pemimpin DAP seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang serta pemimpin PKR Datuk Anwar Ibrahim untuk membangunkan Islam dan Melayu?

"Langkah membenarkan DAP menggunakan logo Pas menyamai memberi tapak atau platform dan nafas untuk menjamin survival DAP secara habis-habisan, sekali gus strategi pakatan untuk memerangi Umno habis-habisan, ini langkah yang tidak baik, dari sudut dasar, strategi dan taktik salah dan silap," katanya.

Sementara itu tokoh akademik, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata pendirian Pas membenarkan DAP untuk menggunakan lambang parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum ini, telah dijangka.

"Keputusan boleh diubah-ubah. Perlembagaan (parti) adalah benda yang kita tulis. Orang boleh ubah. Apa-apa perkara yang berbangkit daripada itu, tak payah fikir.

"Apa yang penting dilihat ialah Pas sanggup bersekongkol dengan DAP, parti cauvinis yang selama ini menentang keistimewaan Melayu dan Islam. Apa yang dia (Pas) buat tak perlu jadi perhitungan lagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai calon bukan Islam yang bakal diletakkan PAS di beberapa kawasan pada pilihan raya umum nanti, Mahmood Zuhdi mengandaikan Pas tidak mempunyai pengalaman yang luas.

"Saya rasa, (Pas) kurang pengalaman dalam mengurus pendirian parti berkaitan komposisi kaum dalam parti. Jadi kita ingat orang sama dengan kita, naif. Dengan cara itu dia merombak status quo yang ada, terutama perjuangan Islam.

"Sebuah parti Islam seharusnya berdiri di atas kaki sendiri dan perlu percaya kepada tuhan. Kemenangan akan dicapai tanpa mengubah pendirian. Kalau tak mampu berjuang, duduk diam-diam," katanya. - Bernama

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP