SHAH ALAM – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyatakan keputusan sama ada bertanding atau tidak diserahkan kepada kepimpinan parti walaupun "lebih cenderung" untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Menurutnya, komitmen beliau adalah memastikan kemenangan BN lebih diutamakan jika pun tidak berpeluang untuk disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya umum kali ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, setiap keputusan dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pencalonan akan diterima dengan terbuka.
Tambahnya, pemimpin-pemimpin muda tidak boleh berkecil hati dan menentang jika tidak dipilih menjadi calon, sebaliknya pilihan raya umum menjadi bukti kesetiaan kepada BN.
“Ramai yang tanya saya melalui Twitter sama ada saya bertanding atau tidak. Saya sudah maklum kepada Najib, keutamaan saya yakni saya lebih cenderung untuk tidak bertanding pada PRU13.
“Tetapi saya seorang yang agak ‘old-fashioned’, saya akur dengan apa sahaja yang bakal diputuskan oleh Pengerusi BN. Kalau diarah bertanding, saya akur.
"Kalau diminta undur, saya akur juga. Yang penting, komitmen saya untuk memastikan kemenangan BN tidak berbelah bagi tak kira jadi calon atau tidak.
“Saya harap yang lain, terutamanya pemimpin Pemuda, juga pegang kepada prinsip yang sama. Janganlah merajuk atau menentang jika tidak dipilih menjadi calon, kita kena bergerak dalam satu pasukan,” kata beliau dalam laman sosial Facebook hari ini.
Semalam, Najib telah mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU13.
Mengulas lanjut Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, dengan pengalaman dimiliki walaupun tidak menjadi salah seorang Ahli Kabinet dan menjadi ejekan musuh politik, namun ia mampu melaksanakan tugas dengan baik.
Katanya, perkara yang penting adalah untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengutamakan jawatan di dalam parti.
“Mungkin pengalaman saya boleh jadi teladan, walaupun telah empat tahun saya berkhidmat di dalam Umno dan BN namun saya tak pegang sebarang jawatan dalam Kabinet, ramai musuh ejek, tapi saya dapat laksanakan tugas dengan baik.
“Jadi apa yang penting bagi kita adalah amanah dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment