SABAK BERNAM - Pakatan Rakyat (PR) memberi jaminan memastikan proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Parlimen ini, berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Setiausaha PKR Sabak Bernam, R Harikumar berkata, semua jentera pilihan raya PR diberikan taklimat oleh pemimpin parti bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam insiden yang menjejaskan kelancaran PRU13.
"Semua parti dalam komponen PR di Parlimen Sabak Bernam berikrar akan memastikan tiada sebarang bentuk provokasi dimulakan daripada parti berkenaan sekali gus menjaga nama baik parti dan mengelakkan imej buruk kepimpinan PR.
"Biarpun pilihan raya kali ini panas dan mencabar, kita tetap akan amal budaya politik sihat serta tidak akan sesekali memulakan provokasi yang boleh mengucar-ngacirkan suasana," katanya.
Menurutnya, Pemuda Pas, Angkatan Muda Keadilan dan Dapsy menjadi tulang belakang jentera PR yang akan memastikan ahli mereka tidak terlibat dalam insiden tidak diingini.
"Peringatan supaya tidak melakukan provokasi diberikan memandangkan kita perlu fokus kepada matlamat untuk berjumpa rakyat dan menerangkan manifesto parti.
"Dalam berdamping dengan rakyat, kita berikan penjelasan tentang komitmen PR selama ini dalam mentadbir negeri selain menerangkan faedah yang diperoleh jika dapat menawan Putrajaya," katanya.
Beliau berkata, kejayaan pemerintahan di Selangor membuktikan kebolehan dan kewibawaan PR dalam mengurus tadbir negeri dengan baik, adil dan saksama.
"Sepanjang pemerintahan PR di negeri ini, kita menghadapi banyak tuduhan tidak berasas. Namun semua itu diketepikan kerana setiap yang dilakukan adalah untuk manfaat rakyat.
"Kejayaan yang dibawa menepis segala tuduhan tidak berasas sekali gus membuktikan PR mampu memerintah dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
0 comments:
Post a Comment