Friday, 7 March 2014

Anwar Akan Dipenjarakan Hari Ini..

Kini baru difahami mengapa tarikh penamaan calon dan hari pengundian pilihanraya kecil DUN Kajang dilewatkan sehingga menghampiri tempoh 60 hari yang dibenarkan oleh undang-undang. Walaupun SPR dimaklumkan mengenai tarikh kekosongan DUN Kajang pada 27 Januari 2014 tetapi tarikh penamaan calon hanya ditetapkan pada 11 Mac manakala hari pengundian pula pada 23 Mac.

Ini bermakna jarak masa antara tarikh kekosongan DUN Kajang dengan hari penamaan calon ialah selama 44 hari manakala dengan hari pengundian pula ialah 56 hari.


Walaupun kelewatan ini menimbulkan sedikit keanehan, namun Pengerusi SPR, Abdul Aziz Yusof memaklumkan ianya berlaku kerana SPR tidak menjangka langsung akan ada pilihanraya kecil ini manakala SPR pula sedang sibuk menumpukan kepada tugas-tugas lain.

Jika tanggalan dulu tarikh itu sengaja dilewatkan untuk meletih dan membuat Anwar kepenatan, rupa-rupanya terdapat agenda lain yang lebih besar disebaliknya.

Hari ini dan esok iaitu 6 dan 7 Mac akan berlangsung perbicaraan kes liwat Anwar di Mahkamah Rayuan berhubung pembebasan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. Oleh kerana perbicaraan hanya ditetapkan selama dua hari dan keputusan sama ada bersalah atau tidak akan diputuskan pada petang 7 Mac bersamaan hari Jumaat atau pada hari Isnin.

Tetapi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sin Tze Tzin meramalkan hakim hanya akan memberikan keputusannya pada petang Isnin kerana pada pagi Isnin, 10 Mac adalah hari pembukaan sessi Parlimen yang akan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong di mana Anwar, peguam Karpal Singh dan beberapa yang lain terpaksa menghadiri berada di Parlimen pada sebelah paginya.

Bagi Sin Tze Tzin, dengan keputusan dijangka pada petang Isnin dan jika Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan, maka proses rayuan tidak dapat dilakukan pada petang tersebut kerana sudah melewati waktu pejabat. Ia seterusnya akan menyebabkan Anwar ditahan di penjara sehingga rayuan menangguhkan hukuman ke Mahkamah Persekutuan yang hanya akan dapat dilakukan pada keesokan harinya, 11 Mac.

Oleh kerana 11 Mac juga ditetapkan sebagai hari penamaan calon pilihanraya kecil Kajang dan Anwar harus menyelesaikan proses rayuannya terlebih dahulu, Sin Tze Tzin menjangkakan kebarangkalian adalah tinggi bahawa Anwar tidak sempat mengemukakan borang pencalonannya ssbagai calon pilihanraya tersebut.

Pada 11 Mac sebelah petang juga Anwar dijadualkan berucap di Parlimen membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong. Kiranya Anwar didapati bersalah, bermakna Anwar bukan saja tidak dapat menjadi calon di Kajang, bahkan juga terlepas daripada berucap di Parlimen sebagai Ketua Pembangkang.

Tanpa ragu-ragu juga Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata bahawa prosiding kes rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan di saat-saat akhir dan tarikh penamaan calon Kajang juga ditetapkan begitu lewat olrh SPR, ia seolah-olah langkah politik BN untuk menamatkan hayat politik Anwar.

Sekali imbas, pertembungan tarikh ini dilihat seperti disengajakan untuk menghalang Anwar bertanding di Kajang dan seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor. Tergambar bahawa ada ketakutan di pihak BN dan Najib Razak terhadap langkah KajangMove yang dilakukan oleh Anwar ini.

Dan sekiranya benar seperti yang dijangkakan bahawa akhirnya Anwar didapati bersalah, maka sahihlah segala yang diramalkan itu. Cuma, apakah benar jika Anwar didapati bersalah, dipenjarakan sekali lagi dan dihalang daripada bertanding di Kajang, kebangkitan rakyat akan mati dan PR juga akan berkubur?

Atau mungkinkah dengan segala halangan ini akan menyebabkan kebangkitan rakyat lebih membara lagi?

Jika ini yang berlaku, sama ada Anwar dihalang atau tidak, riwayat Najib dan BN tetap tidak selamat juga?

Tetapi bagaimana pula jika keputusan Mahkamah Rayuan mendapati Anwar tidak bersalah? Sudah tentu semangat Anwar dan penyokong PR akan melonjak lebih tinggi, bukan saja untuk menghadapi pilihanraya kecil Kajang tetapi juga menuju Putrajaya menjelang pilihanraya 2018 nanti. Dalam masa yang sama, sudah tentu juga sekali lagi Najib dan BN didakwa mempunyai niat jahat membawa Anwar ke mahkamah dalam kes liwat ini kerana terbukti sudah dua mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepadanya.

Meskipun mungkin ada yang beranggapan bahawa jika Anwar dipenjarakan sekali lagi, bukan saja masa depan politiknya akan berkubur, malah tempoh hayat politik BN diramalkan akan terus berkekalan tetapi jangkaan ini tidak semestinya betul. Dengan pelbagai masalah dihadapi rakyat, kebencian terhadap perangai pemimpin politik yang sudah membara sekian lama serta kesedaran rakyat makin meninggi sekarang ini, memenjara dan menghalangnya daripada bertanding mungkin juga akan menghasilkan natijah yang songsang.

Maknanya, lagi Anwar dihalang dan lagi beliau dipenjarakan, lagi membara kebangkitan rakyat. Ini kerana kebangkitan ini bukan lagi berkaitan dengan Anwar semata-mata tetapi sudah menyeluruh mengenai kesedaran rakyat mengenai hak yang sepatutnya lebih baik boleh diperolehi daripada sesebuah kerajaan berbanding sebelum ini. Anwar dan PR sebenarnya hanyalah alat kepada rakyat.

Sama ada keputusan Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah atau sebaliknya, ia sebenarnya tetap tidak berupaya memulihkan imej dan keyakinan rakyat terhadap Najib serta kerajaan. - Shahbudin Husin

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP