SHAH ALAM – Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pengambilalihan ekuiti empat syarikat konsesi di Selangor tidak diberitahu kepada semua pemimpin PR disebabkan ketidakpastian perjanjian sebelum ia diputuskan dan beberapa perkara lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) Faekah Husin menjelaskan, persefahaman yang dicapai antara kerajaan negeri dan Pusat itu boleh dikatakan ‘mengejut’ hasil perbincangan pada Rabu lalu setelah beberapa siri pertemuan dan perbincangan diadakan antara kedua belah pihak.
“Saya ditugaskan untuk mewakili Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hadir pada mesyuarat hari berkenaan dan sekitar 11.30 pagi, keputusan itu dicapai kemudian kita maklumkan kepada menteri besar, tapi beliau berada dalam majlis protokol Diraja dan dalam sekitar 12 tengah hari, kita berjaya untuk memberitahu beliau, Exco dan pegawai penting kerajaan negeri termasuk Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upens).
“Kira-kira jam 1.30 petang perjanjian itu berjaya dimeterai. Jadi, kita mengaku memang tiada siapa tahu kerana ketidaktentuan atau ketidakpastian sama ada ia akan ditandatangani atau tidak pada hari berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, sejak September tahun lalu lagi beberapa siri pertemuan antara Abdul Khalid dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili tidak kurang daripada lapan kali dilakukan bagi membincangkan cadangan penstrukturan air di Selangor secara eksklusif.
Beliau yang turut dilantik perunding penstrukturan air berkata, proses perbincangan sehingga mencapai MoU tersebut juga tidak diuar-uarkan berikutan tidak mahu perbincangan terganggu oleh anasir luar yang boleh menggagalkan penstrukturan yang amat diperlukan oleh rakyat di Selangor yang terbeban dengan krisis air.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment