Tuesday, 11 March 2014

Kebarangkalian MH370 dirampas tetap ada

OPERASI mencari dan menyelamat pesawat MH 370 sudah masuk hari ketiga  semalam namun tiada sebarang penemuan ataupun petunjuk baharu berkaitan  kehilangan pesawat itu.

Ketika ini teori yang mengatakan pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal  itu dirampas pengganas semakin kuat ditambah dengan maklumat awal  bahawa kapal terbang itu dikesan cuba berpatah balik seperti yang disahkan oleh Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri  Rodzali Daud.


Menurut Rodzali, ia dikesan menara kawalan Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth serta bilik kawalan beberapa kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengawasi keselamatan kawasan Laut China Selatan serta Unit Kawalan dan Pengawasan  Trafik Udara Singapura. Namun  kes ini juga dilihat menjadi semakin  rumit dan bertambah misteri  selepas tiada langsung isyarat kecemasan  diterima oleh mana-mana menara kawalan udara baik di Lapangan Terbang KLIA, Vietnam atau China sebaik isyarat pesawat pada radar lenyap.

Rodzali  juga mengesahkan ada empat peringkat sistem kecemasan mampu beroperasi sendiri dalam pesawat itu hingga membolehkan sebarang isyarat kecemasan dihantar secara automatik kepada menara kawalan berhampiran.

Justeru katanya, kebarangkalian kapal terbang dirampas tetap ada.

Malah dalam sidang media semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan  perkara itu terjadi dan sedang meneliti segala kemungkinan yang boleh berlaku.

Menurut beliau, wujud juga persoalan kapal tersebut dirampas dan tidak menolak kemungkinan (rampasan) kerana pihaknya sedang melihat kepada semua aspek kemungkinan.

Tambahnya, bagaimanapun, andai benar berlaku rampasan, setakat ini belum ada sebarang tuntutan yang dibuat oleh mana-mana pihak dan tiada radar dikesan jika pesawat itu terbang ke arah lain.

Lebih menggusarkan, operasi pencarian kini  beralih  di kawasan perairan Selat Melaka selepas  operasi melalui pesawat dan kapal tertumpu di kawasan seluas 3,900 batu persegi di Selatan Vietnam dalam perairan Teluk Thailand dan Laut China Selatan menemui kegagalan.

Terbaru, dua penumpang yang menggunakan pasport  dicuri dari pemilik asalnya  merupakan warga Austria dan Itali telah menguatkan lagi dakwaan ianya ada kena mengena dengan kehilangan pesawat itu.

Menurut sumber dua individu itu gunakan pasport yang dilaporkan hilang di Thailand pada 2012 dan 2013.

Mereka dipercayai membeli tiket di Pattaya, Thailand sebelum menggunakan laluan darat untuk masuk semula ke Malaysia.

Kedua-duanya dipercayai menempah tiket syarikat penerbangan  China Southern Airlines yang mempunyai perkongsian kod dengan Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menaiki pesawat MH370  ke Beijing menggunakan pasport itu.

Malah teori pesawat mengalami masalah teknikal susulan penemuan minyak di kawasan Laut China Selatan, 100 batu Nautika dari pantai Tok Bali, Bachok kelmarin juga meleset selepas pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mengesahkan  tompokan minyak yang diuji Jabatan Kimia  Petaling Jaya itu hanyalah minyak bunker yang tidak digunakan oleh kapal terbang.

Sesetengah pendapat mengatakan pesawat itu meletup  di udara ataupun terhempas  juga nampaknya tersasar jauh selepas tiada sebarang serpihan pesawat ditemui. Ini ditambah penemuan cermin pintu  di perairan Vietnam semalam disahkan bukan dari pesawat berkenaan.

Jabatan Pertahanan Amerika (Pentagon) juga mengesahkan melalui sistem pemantauannya, tiada sebarang letupan besar  direkodkan berlaku di seluruh dunia pada tarikh pesawat itu dilaporkan hilang.

Jika terhempas sekalipun ke dalam air menurut pendapat pakar, anak kapal dan penumpang mempunyai masa lebih kurang setengah jam  untuk keluar dan menyelamatkan diri kerana pesawat terbaik di dunia itu  tidak akan tenggelam serta merta.

Apakah mungkin teori bahawa pesawat ini dirampas pengganas  dan dibawa ke satu lokasi rahsia di sekitar Asia dan menanti rundingan diadakan benar-benar berlaku? Apakah ada perancangan rapi  kumpulan tertentu untuk melakukan tindakan sedemikian?

Menjawab persoalan itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pihaknya berjanji tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berhubung insiden kehilangan pesawat MH370.

Jelasnya mengenai, surat terbuka daripada China Martyr Brigades yang mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat berkenaan, Hishammuddin berkata, beliau ada menerima laporan mengenai perkara tersebut dan sudah pun membaca surat itu.

Katanya, penyiasatan akan dilakukan secara menyeluruh mencakupi semua aspek dan setiap laporan diterima akan diteliti daripada pelbagai sudut. Buat masa ini misi utama adalah untuk mencari pesawat yang hilang itu terlebih dahulu.

Beliau berkata, kerajaan bersikap terbuka dalam isu tersebut dan akan menyalurkan perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat dari semasa ke semasa.

Selain meneliti semula rakaman  kamera litar tertutup dan mengenal pasti dua identiti penumpang yang menggunakan pasport palsu itu juga, Polis Diraja Malaysia kini bekerjasama dengan FBI  untuk menyelesaikan kemelut  kehilangan pesawat ini selepas siasatan mendapati kedua-duanya  tiba di KLIA pada 28 Februari  itu menaiki pesawat dari Doha, Qatar!


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP