Tuesday, 11 March 2014

Nurul Izzah, suami diperintah bawa wakil pendamai

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rendah Syariah hari ini memerintahkan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim supaya segera melantik wakil jawatankuasa pendamai dalam kes cerai yang difailkan Nurul Izzah.

Hakim, Syarie Ab Malek Awang menetapkan 1 April bagi pasangan itu membawa jawatankuasa pendamai masing-masing ke mahkamah, dan jika mereka gagal berbuat demikian, mahkamah boleh menutup kes berkenaan.


"Ini kali ketiga kes ditangguhkan, sekiranya kedua-dua pihak ingin menyelesaikannya, mereka perlu membawa wakil jawatankuasa pendamai dan sekiranya tiada mahkamah boleh tutup kes ini," katanya.

Dalam proses perceraian, jawatankuasa pendamai terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan mereka.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar tidak hadir di mahkamah.

Pada 18 Februari lalu, mahkamah menangguhkan kes tersebut selepas peguam Normawaddah Ramli yang mewakili anak sulung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, memberitahu anak guamnya masih mencari penyelesaian secara baik dalam kes itu.

Terdahulu, peguam Zulkifli Che Yong memberitahu mahkamah bahawa beliau baru dilantik untuk mewakili Raja Ahmad Shahrir Iskandar, dan oleh itu beliau memohon tarikh lain bagi anak guamnya membawa jawatankuasa pendamai.

Nurul Izzah, 34, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Pasangan itu berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang lelaki berusia empat tahun. - Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP