Nur Jazlan: Polis tak perlu siasat laporan Jamal IS resapi BERSIH
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed enggan mengulas dakwaan pemimpin gerakan baju merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos kononnya BERSIH diresapi pengganas IS.
Malah, Nur Jazlan berkata pihak polis juga tidak ada keperluan untuk melayan segala dakwaan yang dibuat itu.
"Itu saya tak payah jawablah Jamal ni.
"Polis juga tak semestinya perlu menyiasat apa yang ditimbulkan (dakwaan) secara politik ini," kata Nur Jazlan ketika ditemui di Kuala Lumpur.
Jamal semalam memfailkan laporan polis mendakwa mempunyai maklumat yang mengaitkan BERSIH dengan kumpulan pengganas IS.
Lebih mengejutkan, menurut Jamal yang juga adalah ketua Umno Bahagian Sungai Besar, maklumat itu datangnya daripada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Walau bagaimanapun, Rafizi, dalam satu kenyataan media, menafikan dakwaan Jamal dan menyifatkan beliau sebagai "badut paling besar dalam Umno".
Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata apa yang berlaku adalah tindakan BERSIH mengundang masalah daripada pihak penentangnya.
"Inlah masalahnya bila ia timbulkan BERSIH, mereka hendak menggunakan demonstrasi jalanan ini sebagai politik tetapi mereka lupa kalau mereka ada perjuangan tak semestinya semua orang suka.
"Jadi timbulah demonstrasi pihak lawan," katanya.
Minggu lalu, BERSIH menafikan dakwaan ia diresapi IS dan berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Jamal dan mereka yang membuat tuduhan itu.
- mkini
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment