Seramai 32 pertubuhan masyarakat madani hari ini tampil menggesa polis segera menyiasat, menangkap dan mendakwa Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus dan pengikut-pengikutnya.
Menurut mereka, ini adalah atas kesalahan ugutan jenayah dan keganasan terhadap peserta-peserta konvoi BERSIH 5 pada 1 Oktober lalu.
“Kami mengecam perbuatan samseng dan ganas yang dilakukan oleh Jamal Md Yunus dan
penyokongnya.
“Mereka berlagak seperti samseng yang tidak memperdulikan undang-undang dan seakan-akan pihak polis tidak dapat berbuat apa-apa terhadap mereka,” kata mereka.
Antara pertubuhan itu termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Angkatan Warga Aman Malaysia (WargaAMAN), Majlis Perundingan Malaysian Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Proham dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Merujuk kepada kejadian di Lumut dan Teluk Inran pada Sabtu lalu, kumpulan masyarat madani itu berkata gerakan baju merah yang diterajui oleh pemimpin Umno itu berlagak seperti samseng dan polis pula seakan-akan tidak dapat berbuat apa-apa.
“Kami terkejut kerana Jamal Md Yunus masih boleh bergerak bebas di negara ini setelah
melakukan tindakan ganas yang disaksikan oleh ramai orang dan video rakaman juga
diviralkan di media sosial.
“Ke mana perginya Ketua Polis Negara yang begitu ghairah menghantar tweet arahan kepada pegawainya untuk melakukan tangkapan apabila rakyat umum sekadar membuat komen terhadap isu kepentingan awam secara aman dalam media sosial?” soal mereka.
Menurut mereka, jika tiada dakwaan jenayah dikenakan terhadap Jamal dan penyokong-
penyokongnya, sudah tentu akan menjadi satu tanda tanya sama ada tindakan mereka itu mendapat sokongan politik dari pihak berkuasa tertentu.
“Kegagalan Ketua Polis Negara untuk menangkap dan mendakwa Jamal dan pengikut-pengikutnya yang melakukan ugutan dan keganasan, malangnya akan menunjukkan
bahawa Malaysia sekarang diperintah oleh samseng dan bukannya lagi oleh undang-undang,” kata mereka lagi.
- mkini
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment