MENTAKAB, 23 JAN: Tidak kira siapa yang dilantik ke jawatan Perdana Menteri (PM) atau Timbalan Perdana Menteri (TPM), ia perlulah dilakukan mengikut undang-undang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, ia termasuklah dari calon DAP sendiri jika memenuhi kelayakan dan dipersetujui bersama.
“Tidak kiralah siapa yg jadi PM atau TPM, yang penting ia mengikut Pelembagaan dan diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong, tak kiralah DAP, PKR, AMANAH atau PPBM.
“Bagi saya, perkara terpenting saat ini ialah untuk menyelamatkan negara yang kita cintai ini,” katanya kepada Roketkini.
Jelas Tengku Zul, isu jawatan TPM yang dibangkitkan UMNO sebelum ini hanya untuk mencetuskan kekeliruan dan fobia khususnya di kalangan orang Melayu.
“Sekarang UMNO sangat terdesak dan cuba bangkitkan fobia Melayu dengan DAP.
“Bila sebut sahaja DAP maka UMNO akan memaksa orang Melayu memiliki persepsi bahawa DAP itu Cina atau Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng semata-mata,” jelasnya.
Momokan jahat UMNO itu kata Adun Mentakab itu merupakan kaedah ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan penjajah sejak berdekad lalu.
Hakikatnya, sejak dahulu, DAP menampilkan barisan pemimpin dari pelbagai latar belakang budaya termasuk tiga orang wakil rakyat dari kalangan orang Melayu, India dan Cina.
“Tak mustahil akan muncul lagi beberapa wakil rakyat DAP dari kalangan orang Melayu yang berkaliber, kenapa mesti dipolitikkan Lim Kit Siang atau Lim Guang Eng? Adakah hanya kerana mereka berketurunan Cina?
“Katakanlah jika calon TPM itu adalah saya, adakah itu satu dosa?
“Jika calon dari DAP itu berkelayakan, dipersetujui bersama dengan rakan-rakan Pakatan yang lain, apa salahnya menjawat jawatan tertinggi. DAP bukan parti Komunis,” jelasnya.
Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia khususnya orang Melayu supaya tidak terperangkap dengan mainan politik UMNO dengan isu sedemikian.
“Negara tidak semakin baik, kita semakin terbeban dengan hutang, kos kehidupan semakin naik, ketirisan, salah guna kuasa, penghapusan subsidi, penurunan nilai ringgit isu perkauman dan sebagainya.
“Kita kena buat perubahan dalam pilihanraya akan datang. Rakyat dah bagi peluang kepada UMNO sebagai tulang belakang BN mentadbir negara ini hampir 60 tahun,” kata beliau. -Roketkini.com
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment