Tuesday, 17 January 2017

Kerajaan Pakatan Akan Mansuh Tol Lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang Jika Menang PRU14


GEORGE TOWN, 16 JAN: Kutipan tol di Lebuhraya Utara-Selatan dan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang akan dihapuskan jika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pemansuhan itu akan dibuat demi meringankan beban rakyat.

Menurutnya, perjanjian konsesi tol Lebuhraya Utara-Selatan sepatutnya tamat pada 2018, namun ia dilanjutkan tempoh selama 20 tahun sehingga 2038.

Perkara sama berlaku kepada perjanjian asal konsesi tol Jambatan Pertama Pulau Pinang yang dilanjutkan selama 20 tahun lagi.

“Sedangkan, hasil kutipan tol sehingga akhir 2015 berjumlah RM36.3 bilion. Kos pembinaan sebenar Lebuhraya Utara-Selatan hanya RM5.9 bilion.

“Kalau menang di Putrajaya, baru kita ada kuasa untuk melakukannya. Menang kerajaan Negeri saja tidak cukup kuasa untuk menghapuskan tol dan cukai GST,” katanya..

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata demikian dalam Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Pemandu Teksi dan Operator Bas Sekolah semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 405 pemandu teksi dan operator bas sekolah dari Seberang Perai menerima insentif perkhidmatan berjumlah RM300 setiap seorang manakala 1,291 yang lain dari kawasan Pulau Pinang telah menerimanya pada hari Sabtu lalu.

Kesemua mereka akan memperoleh sumbangan sebanyak RM300 lagi pada sesi pembayaran hujung tahun ini, menjadikan keseluruhan insentif perkhidmatan tahunan berjumlah RM600.

Menurut Guan Eng, semua pembayaran itu berjaya diteruskan kerana kerajaan negeri menjalankan pentadbiran bersih yang tidak mempunyai unsur rasuah atau penyelewengan sehingga mampu menyediakan insentif kepada seluruh rakyat.

“Tiada negeri lain di Malaysia selain Pulau Pinang yang menyediakan bayaran insentif kepada semua pemandu teksi yang berdaftar,” ujarnya. – Roketkini.com


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP