Sunday, 29 January 2017

Nasrudin Dengan Angkuh Cabar DAP Segera Saman Hadi


Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, jutaan umat Islam termasuk di kalangan masyarakat bukan Islam yang menghormati agama itu akan bangkit membela presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika DAP menyamannya.

"InsyaAllah, jika DAP saman presiden PAS maka ratusan ribu malah jutaan umat Islam termasuk bukan Islam yang menghormati Islam akan bangkit menjadi 'peguam bela' pemimpin gerakan Islam itu.

"Saya mempunyai bukti kenyataan dan sikap kepimpinan DAP yang mempersendakan hukum agama Islam dan sekaligus mempamerkan semangat anti-Islam mereka kepada umum," kata Nasrudin dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Penasihat DAP Lim Kit Siang mengumumkan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Abdul Hadi kerana mendakwa beliau sebagai anti-Islam.

"Peguam saya (telah) diarahkan untuk mempertimbangkan sama ada kiasan Hadi bahawa saya anti-Islam adalah fitnah dan sebab bagi prosiding undang-undang," kata Lim.

Mengakui Hadi mempunyai hak menolak kerjasama dengan DAP, Lim berkata pemimpin PAS itu bagaimanapun tidak sepatutnya memutarbelitkan fakta bagi mewajarkan pendiriannya.

Hadi, terdahulu, dilapor menolak sebarang kemungkinan bekerjasama dengan DAP.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, beliau menamakan rancangan dan strategi DAP sebagai 'strategi serba tak menjadi' yang diadakan untuk hancurkan PAS.

"Mereka mahu pecah-belahkan PAS dan mereka mahu PAS menjadi parti yang lemah dan tidak lagi menjadi saingan mereka di pentas politik tanahair.

"Kelmarin dulu dia putuskan hubungan dengan presiden PAS, kelmarin dia hulurkan salam perdamaian kepada Presiden PAS dan hari ini bertekad untuk saman Presiden PAS.

"Esok entah apa pula pelan dan strategi pemimpin DAP itu," tanya beliau.

Justeru, kata beliau, jika DAP mahu sekali lagi melemahkan presiden PAS dan parti yang dipimpin oleh beliau dengan strategi saman, maka sekali lagi strategi mereka pasti tidak akan menjadi.

"Sebaliknya mereka akan terus "kempunan" untuk melampiaskan cita-cita busuk mereka.

"Malah mereka akan menyaksikan saf kepimpinan dan ahli PAS kian utuh menggalas cita-cita perjuangan Islam bersama presidennya. Keutuhan saf perjuangan PAS diikat dengan prinsip Islam yang diperjuangkan," tambah beliau.





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP