Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menuntut sebuah portal berita memohon maaf ekoran berita yang didakwa memfitnahnya.
Peguam wakil rakyat Parti Amanah Negara (AMANAH) itu, Mohamed Hanipa Maidin, berkata pihaknya akan memberi surat tuntutan mohon maaf tersebut kepada portal itu minggu ini.
Surat tuntutan tersebut meminta portal itu memohon maaf terhadap berita bertarikh 7 Januari lalu bertajuk “Wakil rakyat PAN cuti mewah di UK abai mangsa bah”.
"Selepas dapat reaksi mereka baru kita akan teruskan kepada peringkat seterusnya.
“Dan kes ini sangat jelas dan tak sepatutnya pihak mereka buat tuduhan macam itu," katanya pada sidang media di Wisma Amanah di ibu negara hari ini bersama Raja Kamarul Bahrin.
Portal itu diberi masa 14 hari untuk menjawab surat tuntutan maaf itu.
Selain itu, pada sidang media sama, Raja Kamarul Bahrin memberitahu bahawa beliau tidak dihubungi untuk pengesahan berita itu.
Beliau mempertikaikan penggunaan perkataan “mewah” dalam berita itu memandangkan beliau ke United Kingdom atas urusan kerja bersama pemimpin AMANAH lain dan menggunakan pesawat komersial.
Beliau menjelaskan, dakwaan tidak kelihatan di Kuala Terengganu ketika negeri berkenaan banjir juga tidak benar memandangkan beliau telah mula memberi bantuan kepada mangsa pada 28 Disember.
Raja Kamarul Bahrin yang juga biro antarabangsa AMANAH juga mahu membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas laporan yang “menyelewengkan fakta dan merosakkan reputasinya”.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas portal itu.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment