Bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengkritik tindakan partinya yang tidak menghantar wakil ke majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Stadium Malawati, Sabtu lalu.
Beliau menyifatkan tindakan parti tersebut seolah-olah enggan menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang seperti yang diingini rakyat.
“Tidak wajar PAS tidak menghantar wakil mereka pada majlis pelancaran ini kerana masyarakat akan melihat seolah-olah PAS mahu memencilkan diri daripada satu kelompok 'grand coalition' dalam kalangan parti pembangkang yang ada ini.
“Tidak menghantar wakil kepimpinan tertinggi parti adalah langkah yang silap. Saya tidak tahu ketidak sediaan PAS untuk menjalin apa-apa kerjasama Pakatan Harapan (HARAPAN) atau BERSATU,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Mahfuz merupakan satu-satunya pimpinan PAS yang hadir meskipun BERSATU dilihat menyediakan beberapa kerusi untuk pimpinan PAS.
Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena berkata kehadirannya kerana mendapat jemputan dari BERSATU.
“Namun, saya tidak maklumkan kehadiran saya kepada kepimpinan PAS dan tindakan saya adalah atas kapasiti peribadi,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Jelasnya, tidak menjadi satu kesalahan bagi dirinya menghadiri apa juga program anjuran HARAPAN kerana beliau berasakan kehadirannya itu atas kapasiti rakyat Malaysia.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment