Wednesday, 11 January 2017

Ingatan Buat Jamal: Jawatan Presiden FAS Bukan Tempat Asah Bakat Badut


Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GKPS) menempelak hasrat Ketua Kumpulan Gerakan Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Penaung GKPS Datuk Adam Rosly berkata, pihaknya risau jika Jamal menjadi presiden akan ada pemain pasukan yang akan tinggal tuala sahaja apabila hendak beraksi satu hari nanti.

"Jangan jadikan The Red Giants modal politik dan tempat mengasah bakat badut serta parasit," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Adam (kanan, baju putih), pihaknya maklum dengan impian Jamal untuk bergelar presiden FAS dan angan-angan tersebut dizahirkan secara rasmi ketika bertandang ke pejabat FAS, semalam.

"Nasihat saya mudah, sudah-sudahlah memasang angan dan cuba menangguk di air keruh.

“Kemelut FAS ini tidak wajar dipolitikkan dan usahlah seorang ahli politik picisan seperti Jamal menjadikan ini sebagai batu loncatan untuk popular," katanya.

Semalam, Jamal yang bermuka celoreng bendera Selangor bersama penyokongnya hadir ke pejabat FAS untuk menyerahkan surat itu bersama anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shohaimi Shadan dan exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Surat tawaran tersebut diserahkan kepada Exco FAS, Adnan Sarrif.

Jamal juga turut berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai selepas 14 hari jika dilantik menjadi presiden.

Pada 30 Disember lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali meletak jawatan sebagai presiden FAS kerana membantah budaya "politik berlebih-lebihan, melakukan kerja cara lama dan mentaliti bergantung kepada subsidi".

Adam berkata, tindakan Mohamed Azmin dan Exco Belia dan Sukan Selangor Amirudin Shari mengumumkan untuk tidak bersama FAS bukan bermakna persatuan ini harus dipimpin oleh individu sembarangan dan menjadi alat politik orang lain.

Kataya, amat menghairankan apabila secara tiba-tiba Jamal berminat dengan urusan bola sepak yang selama ini tidak pernah diambil kisah.

"Dakyah bahawa hendak membawa bola sepak Selangor setanding dengan JDT adalah satu kenyataan lucu.

“Sebagai penyokong setia, semua peminat tahu kedua-dua pasukan berada pada kelas tersendiri dan berada pada era kegemilangan masing-masing.,” katanya.

Menurut Adam, semua pihak perlu faham bahawa FAS perlu dirombak sepenuhnya bukan sekadar tukar presiden sahaja.

"Kami di Gabungan ingin menasihatkan Jamal agar simpan sahaja impian untuk menjadi presiden FAS kerana jelas hanya akan menghuru-harakan lagi keadaan," katanya.

- mkini




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP