Saturday, 15 October 2016

Menara Merdeka: RM7 Bilion Mercu Tanda Baru Malaysia



Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjangkakan kos keseluruhan pembinaan Menara Merdeka PNB118 di bawah projek Warisan Merdeka,
bakal menelan belanja kira-kira RM7 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata bagaimanapun, buat masa ini PNB akan menumpukan perhatian terhadap pembinaan fasa pertama yang menelan belanja RM5 bilion.

"Projek ini mengandungi tiga fasa di mana fasa pertama terdiri daripada
pembinaan menara dan pusat membeli-belah, fasa kedua untuk pembinaan kediaman manakala fasa ketiga untuk pembinaan bangunan komersial yang lain.

"Kos (pembinaan) masih tetap pada RM5 billion bagi fasa pertama dan kami amat yakin kos ini di bawah rangkuman yang telah kita buat dahulu," katanya kepada pemberita pada majlis penuangan konkrit pembinaan asas menara Merdeka PNB118, di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Abdul Rahman berkata selepas siap kelak menara itu akan setinggi 630 meter, termasuk puncak menara, dan akan menjadi bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.

"Projek mega dan berimpak tinggi ini dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan, dan lebih-lebih lagi selepas fasa tersebut siap kelak apabila perniagaan dan aktiviti ekonomi lain mula beroperasi.

"Jangkaan kehadiran syarikat multinasional sebagai penyewa di menara ikonik ini juga mewujudkan pekerjaan pendapatan tinggi bagi pelbagai kemahiran dan kepakaran untuk rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Merdeka Ventures Sdn Bhd Tengku Datuk Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata 10,000 peluang pekerjaan itu dijangka diisi oleh tenaga kerja tempatan.

"Kita jangkakan penghuni menara ini kebanyakannya terdiri daripada
syarikat tempatan tetapi sudah tentunya apabila kita membina sesuatu yang ikonik seperti menara ini, akan ada pertanyaan daripada syarikat antarabangsa (untuk penghunian).

"Kami menjangkakan 20 tingkat akan dihuni syarikat antarabangsa manakala bakinya diisi syarikat tempatan," katanya.-Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

BlogList 3

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP