Tuesday, 9 April 2013

PKR Dakwa Kor Risik ATM Latih Ahli Umno Sabotaj Pakatan

PETALING JAYA: PKR hari ini mendakwa Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah melatih anggota Pemuda Umno dan orang awam yang bukan ahli Umno sabotaj dan mengganggu program Pakatan Rakyat (PR).

Dalam kenyataan segera, Pemuda Umno menafikan dakwaan tersebut.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul mendakwa, beberapa hari lalu beliau telah dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai salah seorang orang awam yang dilatih untuk membuat huru-hara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 terutamanya di kawasan Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang.


Wakil rakyat Sungai Petani ini berkata, latihan tersebut turut membabitkan pemantauan terhadap kegiatan PR secara berterusan.

"Dua kumpulan yang didakwa telah dilatih oleh Kor Risik ialah Kumpulan Batas dan Warisan Malaya.

"Kini ahli kumpulan ini bertaburan di seluruh negara dan telah bersiap sedia untuk melalkukan huru-hara," dakwanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Johari , PKR menggesa Pengarah Kor Risik ATM tampil membuat penjelasan terhadap dakwaan itu.

Katanya, "... adakah benar Kor Risik mempunyai program melatih kumpulan-kumpulan tertentu bagi melakukan kerja-kerja sabotaj terhadap PR dan ahli-ahli kumpulan ini akan melakukan huru-hara jika BN serta Umno tumbang pada PRU13.

"Kami tidak menuduh Kor Risik terlibat tetapi minta pihak bertanggungjawab menjawab dakwaan ini memandangkan dakwaan yang dikemukakan adalah serius," katanya lagi.

Dalam pada itu, tambah Johari, PKR juga memohon Ketua Polis Negara dan Panglima ATM memberi sedikit ruang serta masa untuk bertemu pemimpin PR untuk memberi jaminan bahawa pasukan keselamatan akan terus komited memastikan perkara seperi dakwaan ini tidak berlaku.

"Kami amat yakin polis, ATM, pemimpin-pemimpin politik dari mana-mana parti dan rakyat dapat bergabung mempertahankan negara demi masa depan negara yang lebih aman," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menafikan pihaknya menerima apa-apa latihan Kor Risik ATM seperti yang didakwa.

“Tak betul... itu fitnah. Saya amat menghormati profesionalisme pihak ATM yang tidak terlibat langsung dalam politik terutamanya dalam melatih mana-mana ahli dalam parti sama ada Umno ataupun Barisan Nasional (BN).

“Bagi saya, ini adalah satu bentuk penghinaan Johari terhadap ATM. Saya harap pihak tentera dapat memberikan satu kenyataan untuk menafikan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Katanya lagi, sekiranya Johari membuat tuduhan sedemikian dan tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti, Khairy berharap Johari menarik balik tuduhan tersebut.

Mengulas perkara sama, Khairy turut mendakwa kemungkinan Johari ditugaskan oleh Anwar untuk membuat ‘operasi-operasi hitam’.

"Misalnya dalam kes pendedahan bapa Saiful, semasa pendedahan awal, saya rasa ramai yang terpengaruh, tetapi dua tiga hari selepas pendedahan itu, Johari membawa bapa Saiful sekali lagi membuat sidang media untuk menyertai PKR.

“Ketika itu, ramai orang sudah tidak lagi percaya dengan bapa Saiful. Jadi, sama jugalah dengan perkara ini,” jelas beliau.

Ketika ditanya sama ada Pemuda Umno akan membuat laporan polis berhubung dakwaan ini, Khairy berkata, pihaknya akan kaji perkara ini.

“Pemuda Umno tidak mahu begitu membuang masa. Namun, jika perlu, kami akan membuat laporan polis,” katanya lagi.

- sinarharian



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP