KUALA LUMPUR – “Dulu lawan (UMNO). Sekarang naik sekapal (bantuan umat Islam Rohingya). Sengih sampai tak boleh tutup mulut,” kata Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.
Beliau berkata demikian bagi menyindir PAS kerana bersengkongkol dengan UMNO untuk menghantar bantuan kepada umat Islam Rohingya yang dizalimi rejim Myanmar melalui misi `food flotilla’ pada Februari lalu.
Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden PAS berkata, PAS perlu sedar diri parti itu tidak akan menang di Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum sebelum ini tanpa bantuan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau turut mengingatkan mantan Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan dapat menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 90-an tanpa bantuan Semangat 46.
“Kejayaan PAS menguasai Terengganu juga hasil daripada gabungan antara parti pembangkang melalui Barisan Alternatif selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat,” katanya dalam satu ceramah seperti dilaporkan portal berita pro-Pakatan Harapan.
Justeru, Mohamad mengakui bahawa PAN, PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mampu berhadapan dengan UMNO secara bersendirian.
Kata beliau, atas sebab itu keempat-empat parti itu harus bergabung untuk menumbangkan UMNO tanpa memerlukan PAS.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment