Kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz bahawa skandal rasuah dan pembaziran yang berlaku hari ini adalah kesakitan lama seolah-olah satu tindakan melindungi rasuah dan pembaziran berbilion ringgit yang sedang dilakukan oleh pentadbiran negara hari ini pimpinan kleptokrat global Datuk Seri Najib Razak.
Negara hari ini berhadapan krisis korupsi global yang amat kritikal bilamana skandal 1MDB menjadi subjek siasatan autoriti beberapa buah negara sehinggakan DOJ Amerika Syarikat mendedahkan Perdana Menteri adalah MO1 yang telah mencuri RM2.6 bilion.
Di samping itu, pendedahan SPRM bahawa terdapat 63 penjawat awam yang dituduh untuk tempoh 2016 hingga Februari tahun ini adalah satu angka yang besar dan begitu membimbangkan, apatah lagi lebih 60 peratus kes rasuah melibatkan pegawai muda bawah 40 tahun.
Tangkapan pegawai kanan Kerajaan termasuk dalam kes pegawai di Jabatan Air Sabah, Kementerian Belia dan Sukan dan EXCO Johor yang melibatkan rampasan jutaan ringgit wang tunai dan barangan mewah menunjukkan gejala rasuah adalah penyakit negara yang sudah membarah.
Persepsi rasuah negara
Indeks persepsi rasuah negara yang merosot dari tangga 54 ke 55 yang dikeluarkan oleh Transparency International amat memalukan negara.
Jenayah rasuah yang dilakukan oleh pemimpin negara dan penjawat awam hari ini tidak boleh lagi dibiarkan dan rakyat harus bersatu melawan gejala ini daripada terus menghancurkan negara.
Kemajuan negara dan pembangunan insan tidak akan tercapai jika negara dicemari dengan gejala rasuah kerana integriti adalah teras sesuatu kejayaan.
Nik Abduh tidak seharusnya terus membutakan mata dan memekakkan telinga dengan kes-kes rasuah terutama yang melibatkan Perdana Menteri.
Kenyataan beliau tersebut dilihat senada dengan saranan Perdana Menteri yang mahukan siasatan skandal Forex dijalankan sedangkan siasatan skandal 1MDB yang melibatkan perdana menteri terus dilindungi sehinggakan tidak dibenarkan untuk dibahaskan di Parlimen.
Nik Abduh tidak seharusnya terus menjadi tongkat kepada perdana menteri yang kepimpinannya semakin tempang akibat rasuah dan pembaziran. Justeru, agenda 'Tumbang Najib PRU14'(TN 14) adalah perjuangan paling utama bagi menyelamatkan negara.
FAIZ FADZIL ialah timbalan ketua pemuda AMANAH. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment