Tanya kelayakan exco agama, saya dihalau dari dewan, kata Husam
Naib presiden parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa yang dikeluarkan dari persidangan dewan negeri Kelantan hari ini, berkata, beliau menerima nasib seperti ini semata-mata kerana bertanyakan kelayakan exco agama di dewan berkenaan.
Selepas beliau dilarang untuk berbahas katanya beliau cuba mengikuti sesi penggulungan walaupun beliau beranggapan persidangan sudah bertukar menjadi kuliah oleh seorang exco agama.
"Itulah rutin dewan 'Kuliah' Undangan Negeri Kelantan kebelakangan ini," katanya.
Menurut beliau tidak ada enakmen baru berkaitan Islam yang dibentangkan.
"Tidak ada program baru, penyelesaian permasalahan ummat atau pembentangan prestasi portfolio agama yang diketuainya," katanya.
Menurut Husam terdapat pelbagai masalah yang belum selesai mengenai pentadbiran agama Islam di Kelantan.
"Misalnya di negeri lain, tanpa slogan Membangun Bersama Islam, Enakmen Wasiat dan Enakmen Wakaf telah lama diluluskan.
"Juga belum diluluskan di negeri Kelantan ialah Enakmen berkaitan urusan mal atau kewangan ummat Islam, yang juga penting.
"Mahkamah Syariah Jajahan masih berkongsi pejabat dengan Pendakwa Syariah.
"Malah Enakmen Pentadbiran Syariah kali terakhir disemak ialah pada 1998," katanya.
Syarahannya kata beliau, mengalahkan mufti dan profesor.
"Kuliahnya pagi ini mengenai gugurnya talak orang yang berbai'ah talak ta'lik.
"Tetapi apakah beliau layak memberi fatwa?
"Apa kelayakan beliau berfatwa sesenang hati?
"Pertanyaan seperti itu paling wajar ditanyakan kepada MB yang melantik beliau.
"Rupanya, harga soalan mengenai kelayakan Exco Agama Kelantan sangat mahal." ujarnya.
Ketika Menteri Besar. Datuk Ahmad Yakob menggulung perbahasan tadi, Husam diiringi Bentara dengan cokmar diusung keluar dewan.
"Sensitif kepada speaker dewan menanyakan kelayakan kawan beliau, exco agama Kelantan? "Tanpa amaran saya 'digiring' keluar dewan atas arahan speaker Dun kerajaan Islam Kelantan, dua tiga minit sebelum sidang ditamatkan," katanya.
Bagi beliau sejarah tercipta oleh sebuah Kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob.
"Insya Allah ia akan kekal menjadi rekod sama ada kerajaan ini demokratik atau menghayati semangat 'syura' atau ketiadaan kelayakan menjadikan pimpinannya takut dengan bayang-bayang sendiri," katanya. -MD
DEMOKRASI YANG MATI DI DALAM SIDANG DUN KELANTAN.
1. Sidang Dun Negeri Kelantan Sesi kali ini bagi Penggal ke-13 menyaksikan pertama kali seorang Adun iaitu YB Dato Paduka Haji Husam Musa dihalau keluar oleh Speaker YB Dato Abdullah Yakob dari Dewan Undangan Negeri Kelantan. Insiden ini belum lagi berlaku di dalam era Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA) dan sehingga 27 tahun, inilah kali pertama Adun Kelantan dihalau keluar Dewan.
2. Kami terpanggil untuk mempersoalkan kenapakah insiden ini berlaku yang secara terang-terangan telah menafikan hak seorang Adun untuk bertanya di dalam Sidang Dun Kelantan iaitu sebuah Dewan yang Mulia untuk membincangkan isu-isu terkini dan perihal urusan rakyat Kelantan amnya.
3. Sejak bermula Sidang Dun 20 Mac 2017 yang lalu, YB Dato Haji Husam Musa selaku Adun tunggal Amanah itu juga telah dinafikan hak untuk bersuara mewakili rakyat Kelantan sekali gus mencerminkan sikap sebenar pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengelak untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Jelas keterbukaan yang dilakukan era Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dahulu tiada lagi di penggal ke-13 ini.
4. YB Dato Husam Musa Adun Salor dinafikan haknya untuk mengambil peluang membahas titah ucapan Pemangku Al Sultan Kelantan semalam dan pagi ini, dan sekali lagi cuba untuk mencelah ketika YAM Menteri Besar Dato Bentara Ahmad Yakob berucap tetapi tidak diendahkan.
5. Demokrasi telah mati di sini. Segala kesulitan rakyat Kelantan tidak lagi sampai kepada pimpinan Kerajaan Kelantan. Mereka hanya tahu menutup segala ruang untuk bertanya dan menjawab sekaligus cuba berdalih untuk menyampaikan jawapan yang jitu, konkrit dan adil.
6. Kami selaku Pemuda Amanah Negeri Kelantan mempertikaikan tindakan Speaker Dewan Dato' Abdullah Yakob yang seolah tidak demokratik, telus dan adil bagi Adun yang ingin bertanya kelayakan exco bagi menjawat jawatan tersebut di Dun Negeri Kelantan.
7. Kami melihat ianya bukan sahaja satu penafian hak bersuara seorang Adun di sini, tetapi ianya lebih dilihat sebagai menghalang isu rakyat Kelantan ke Dewan yang Mulia ini.
8. Jika hak seorang Adun dihalang, apa lagi yang hendak diharapkan oleh rakyat kebanyakan. Tidak lain dan tidak bukan, ke medan rakyat jua kami akan sampaikan. Rakyat Kelantan merintih lagi. Tetapi, demokrasi telah mati di sini.
MOHD RIDZUAN BIN MUHAMAD
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negara
Negeri Kelantan
Merangkap Timbalan Ketua Amanah
Kawasan Rantau Panjang, Kelantan.
22 Mac 2017
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment