SEMOGA adinda dan keluarga besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berada dalam pemeliharaan ALLAH. Keluarga kami sihat belaka menjalani kehidupan fana ini yang pasti berakhir.
Adinda,
Kita berkongsi satu fakta, iaitu ayah kita adalah pemimpin parti Islam yang disegani kawan dan lawan. Ayah saya Tuan Haji Yusof Rawa pernah menjadi Presiden Pas dan Murshidul Am pertama. Beliau tak mahu dipanggil Tuan Guru dan lebih senang dengan panggilan Tuan Haji sahaja.
Ayah kita menjadi bahan kritikan dan cemuhan, ada juga pujian dan pujaan. Sepanjang hidup kami, kami lalui dengan pesanan ayah “biarkan, itu perkara biasa..” Ayah mengajar doa kepada saya apabila dipuji agar berkata: "Ya ALLAH jadikanlah pujian mereka satu kebaikan bagi ku, dan ampunilah aku atas segala sesuatu keaiban aku yang mereka tidak ketahui (tentang aku)”
Kritikan pedas kepada ayah ketika memimpin era kepimpinan ulama oleh musuh politiknya seperti tuduhan terikut pengaruh Syiah dan kritikan dari dalam Pas sendiri ketika ayah bersetuju dengan penubuhan sayap CCC (Chinese Consultative Council) semua diterima sebagai asam garam politik.
Malah ayahanda pernah berhasrat letak jawatan Presiden kerana menganggap undi tidak percaya kepadanya hanya kerana ada di kalangan AJK Pas waktu itu tidak menyokong keputusan yang sebelumnya dibuat bersama.
Walaupun Allahyarham Tan Sri Asri Muda dan rakan-rakannya menubuhkan Hamim, ayahanda saya tetap menziarahi mereka sebagai kawan. Ayahanda mengajar saya bahawa Islam mengatasi kepartian dan kekelompokan. Beliau dikenali tidak bersetuju dengan budaya takfiri ketika itu dan menyatakan pendirian Pas secara rasmi.
Di Pantai Timur, ayahanda dianggap ‘tidak keras’ malah ketika belasungkawa kematian beliau, Utusan Malaysia menyebut ” Haji Yusof Rawa, Pemimpin Sederhana dalam Pas meninggal dunia”
Adinda,
Saya cuba meneruskan prinsip dan ajarannya kerana beliau adalah murabbi saya yang pertama. Berbeza dengan adinda, saya memilih untuk bersama Amanah atas pilihan prinsip.
Orang menuduh kekanda dengan label berbagai antaranya “Iman tidak boleh diwarisi”, "Ayah hebat, anak pengkhianat” dan lain-lain yang cuba kaitkan saya dan ayah saya. Kekanda diamkan sahaja dan anggapnya sebagai asam garam perjuangan.
Adinda,
Apa yang mereka tidak tahu, beberapa hal diajar oleh ayah kekanda ialah kepartian atau istilah Jemaah bukan soal aqidah iman dan kufur, kedua, pandangan politik bukan kesalahan, ketiga, bersikap terbuka dalam semua hal adalah jalan terbaik.
Kita ditinggalkan dengan berbagai tanggapan terhadap kepimpinan ayah kita. Para ahli akademik berminat membuat kajian tentang ketokohan mereka dalam suasana politik yang mereka terpaksa harungi.
Begitu juga pihak lain termasuk parti politik, badan kerajaan dan bukan kerajaan. Ruang penulisan, seminar dan kajian ilmiah akan memberi peluang ketokohan ayahanda kita dikenali generasi kemudian.
Adinda,
Semua tokoh sama ada ulama atau politik sepanjang sejarah dibuat penulisan dan kajian antara kritikan dan kredit. Ibnu Taimiyah, Imam al Ghazali, Imam al Syatibi, semuanya dimuatkan sejarah mereka dalam bentuk kritikan dan kredit.
Apapun, ia tidak mengurangkan kehebatan ide, ilmu tokoh besar ini. Kekanda tidak dapat membayangkan jika ada pihak pada zaman pasca kematian mereka, menyekat atau menghalang kritikan dan kredit ditulis untuk mereka, nescaya hari ini tiada siapa yang mengenal tokoh besar Islam ini.
Biarlah ayahanda kita dikaji, diseminarkan kerana generasi akan datang dapat menghargai jasa besar mereka untuk politik Malaysia dan perkembangan politik Islam antarabangsa.
Ada sudut pandang ayah kita dari kasih sayang seorang bapa, kesetiaan seorang kawan dan penghayatan akhlak berkeluarga perlu juga diketengahkan berbanding dengan aspek keseriusan politik dan kepartian semata-mata. Bagaimana semua ini hendak ditonjolkan kalau kita sebagai anak menghalang sesuatu pihak mengadakan seminar tentang pemikiran dan ketokohan ayah-ayah kita?
Adinda,
Jikalau alasannya kerana parti Amanah (bukan PAN ya) yang menganjurkannya, kaedahnya tetap sama, iaitu ” kita tidak boleh menyekat mana-mana pihak membuat kajian tentang ayah kita” Dengan menyekat, apatah lagi melalui laporan polis, kita telah meletakkan kes awalan yang tidak baik seolah menjadi kesalahan sesuatu pihak mengkaji pemikiran ayah-ayah kita.
Lagipun seminar yang bakal dianjurkan belum pun lagi berlangsung, apakah adinda ada ‘kashaf’ keburukan akan berlaku?
Jika Amanah adalah masalahnya, carilah jalan lain untuk membuat laporan ke atas Amanah, contohnya buatlah laporan polis tentang kenyataan bahawa Pas menerima 90 juta dari Umno melalui laporan Sarawak Post.
Atau dakwaan Kerajaan Kelantan tidak memelihara alam sekitar, atau dakwaan Pas dah berbaik dengan Umno dan lain-lain dakwaan politik terhadap Pas. Adapun menggunakan nama ayah kita sebagai laporan polis kerana Amanah bercadang akan buat seminar pemikiran TGNA adalah di luar jangkaan kekanda terhadap adinda.
Adindaku,
Kekanda telah menyatakan bahawa, siapa sahaja yang berminat untuk mengkaji tentang ayah kami atau membuat seminar, kami tidak akan halang.
Ayahanda kami juga adalah antara penerbit dan pencetak Melayu yang awal di Pulau Pinang, antara pengasas Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang( zaman BN) dan anak Melayu Pulau Pinang terawal dalam jawatan kabinet ketika Pas bersama BN.
Kekanda yakin, sebagai anak kepada seorang tokoh besar, ada perkara yang adinda belum mengetahui tentang TGNA kerana kekanda sendiri senantiasa mendapat maklumat baru tentang ayah kekanda THYR, yang kami sendiri tidak pernah mengetahuinya.
Melalui seminar kita sebagai anak akan terus mempelajari tentang ayah kita. Melainkan adinda telah mengetahui segalanya tentang ayahanda adinda, itu kekanda tidak tahu.
Adinda,
Demikianlah warkah kekanda untuk ditatapi umum, biarlah mereka membaca celoteh kekanda. Mereka tidak memahami bagaimana menjadi anak kepada tokoh, ya kekanda pernah kecil hati pada kritikan kepada ayah tetapi kekanda belajar membesar dengan realiti ini.
Ya kekanda memilih untuk bersama Amanah, kekanda rela menerima kritikan. Adinda juga mungkin merasai perasaan yang sama dikritik hebat gaya ‘politik berhemah’ adinda.
Walaupun demikian, ketahuilah kekanda tidak akan menyekat mana-mana pihak mengkaji atau membuat seminar tentang ayah kekanda malah kekanda dengan berbesar hati mengajak adinda untuk menjadi pembentang dalam seminar anjuran Amanah untuk membetuli apa yang adinda rasa dieksploitasi oleh parti Amanah. Jika adinda bersetuju, kekanda akan meminta penganjur menjemput adinda mewakili keluarga TGNA.
Semoga ALLAH memelihara kita semua dalam kehidupan berbaki menuju alam abadi. Salam kasih pada bonda dan semua keluarga TGNA dari keluarga besar THYR. Semoga adinda menerima jemputan kekanda dengan dada yang lapang dan semoga tiada laporan polis dibuat kerana warkah ini.
MUJAHID YUSOF RAWA
28 March 2017
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment