Mahkamah Tinggi Melaka hari ini gempar apabila seorang orang kena tuduh (OKT) mengalami sesak nafas dan rebah di dalam kandang tertuduh dan dikejarkan ke hospital selepas mendengar keputusan hakim terhadap rayuan hukumannya atas kesalahan mencabul pekerja kafe lelaki tiga tahun lalu.
Pada 30 Mei tahun lalu, Deraman Abu Chek, 60 tahun sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.
Bagaimanapun, penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu dibenarkan sehingga rayuan dikemukakan dan didengar oleh Mahkamah Tinggi sehingga Hakim Siti Khadijah S. Hassan Badjenid hari ini mengurangkan hukuman penjara kepada dua minggu dan menaikkan jumlah denda menjadi RM10,000.
Setelah mendengar keputusan itu, Deraman yang juga seorang pesara kerajaan secara tiba-tiba rebah dan terpaksa dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.
Berdasarkan pertuduhan, Deraman didapati meramas kemaluan seorang lelaki berusia 26 tahun di dalam tandas lelaki aras bawah UTC Melaka sekitar jam 7.30 malam pada 19 Mac 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman tersebut.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari merayu mahkamah untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara kepada anak guamnya dan menggantikannya dengan menaikkan jumlah denda kepada tertuduh.
Bagaimanapun, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Shazril Ghazali bertegas memohon mahkamah untuk mengekalkan hukuman yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Majistret pada 30 Mei 2016 lalu.
Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Siti Khadijah memutuskan hukuman penjara dua minggu dan denda RM10,000, sebelum keadaan mahkamah menjadi kecoh.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment