KUALA LUMPUR 12 April – Belum reda lagi kehangatan pertikaian mengenai siapa yang berkuasa melantik Menteri Besar Johor yang baharu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi memberi penjelasan tentang sebab raja tidak boleh diberikan kuasa mutlak.
Memetik laporan portal Malaysiakini, Dr. Mahathir yang berucap dalam majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam memberi ingatan tentang kemungkinan raja menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi dan bukan untuk negara sekiranya memperoleh kuasa mutlak.
“Sebab itu kita mengadakan sistem pemerintahan yang mana raja tidak mempunyai kuasa eksekutif dan ini boleh menyelamatkan rakyat. Rakyat akan tentukan dasar-dasar negara melalui wakil-wakil mereka. Wakil-wakil mereka pilih kerajaan. (Jika) Menyeleweng, rakyat boleh menjatuhkan mereka.
“Kita lihat bila kita beri kuasa mutlak kepada raja-raja, kerana kadang-kadang mereka lebih mengutamakan kepentingan diri daripada negara yang mereka memerintah. Ini bukan sekali sahaja, ini berlaku berkali-kali,” katanya di sini. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) melihat orang Melayu sebagai masih berfikiran feudal kerana masih menganggap raja tidak boleh dibantah walaupun mereka melakukan sesuatu jenayah atau melanggar undang-undang.
Katanya, perkara itu menyebabkan raja bertindak melakukan beberapa perkara yang bercanggah dengan undang-undang dan sehingga kini masih sukar untuk melihat sebarang tindakan diambil terhadap mereka.
“Ini masalah kita hadapi kerana di satu pihak kita akan berpegang kepada ‘rule of law’. Di satu pihak yang lain adalah mengatasi undang-undang dan kita ketepikan undang-undang kerana adat.
“Apakah kita rela ini berterusan? Ini adalah keputusan boleh diambil oleh rakyat sendiri kalau rakyat begitu sekali takut untuk tidak melayan raja-raja, dan raja-raja menjadi raja yang luar daripada perlembagaan, maka rakyat akhirnya yang akan menjadi mangsa. Raja juga akan jadi mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment