Shahbudin Husin 7 April 2019
Menjawab berkenaan pemindahan wang RM10 juta ke London pada 2008 melalui pengurup wang yang kini dilaporkan kembali kepada SPRM, calon BN PRK Rantau, Mohamad Hasan berkata, tiada kesalahan dilakukannya dalam urusan tersebut.
Katanya, SPRM sudah pun menjalankan siasatan dan beliau telah didapati tidak bersalah berkenaan pemindahan wang itu.
Menurut Mohamad atau Tok Mat, wang yang dipindahkannya itu adalah untuk membeli sebuah apartment di London.
Isu wang RM10 juta ini telah menjadi bualan ramai sejak bermulanya kempen PRK Rantau lagi dan terbaru, Speaker DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar diberitakan telah melaporkan sekali lagi kes itu kepada SPRM.
Dengan isu ini kembali menjadi bualan ramai serta telah dilaporkan sekali lagi kepada SPRM, adalah penting untuk pihak berkuasa pencegah rasuah itu segera menjalankan siasatannya.
Siasatan boleh dilakukan semula kerana ada keraguan dalam siasatan oleh SPRM di bawah era BN sebelum ini di mana hanya pengurup wang saja yang didapati bersalah dan dikenakan denda.
Jika Pejabat Peguam Negara mendapati pengurup wang bersalah, bagaimanakah Tok Mat yang merupakan pemilik wang boleh dilepaskan begitu saja?
Di manakah keadilan dalam hal ini?
Apakah Tok Mat dilepaskan semata-mata kerana BN yang berkuasa ketika itu?
Oleh yang demikian, kerajaan PH dan Malaysia Baru ini harus segera membuka semula kertas siasatan berhubung pemindahan wang RM10 juta tersebut.
Selain itu, SPRM juga hendaklah menyiasat di mana dan bagaimana Tok Mat memperolehi wang RM10 juta itu?
Tok Mat mula menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2004 dan tentu menghairankan jika hanya selepas empat tahun kemudian, beliau sudah memiliki wang RM10 juta untuk membeli sebuah apartment secara tunai di London.
Biasanya juga, jika seseorang itu sudah mampu membeli sebuah apartment secara tunai berharga RM10 juta, dia mungkin ada berpuluh juta lagi dalam akaun banknya.
Jadi, berapa sebenarnya jumlah sebenar kekayaan Tok Mat?
Sama ada wang tersebut merupakan pendapatannya semasa menjadi Menteri Besar atau perolehan sewaktu menyertai korporat sebelum itu atau jika melalui sumber-sumber lain, ia perlu disiasat dan hendaklah dijelaskan kepada umum.
Lebih-lebih lagi kepada pengundi Rantau sebelum 13 April ini, mereka tentu juga ingin tahu mengenainya.
Kiranya SPRM lambat menjalankan siasatannya, beranikah Tok Mat berterus-terang dan berlaku jujur kepada pengundi Rantau sebelum 13 April ini?
(Shahbudindotcom 07/04/2019)
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment